Teruskan pendakwaan gagal isytihar harta, yakin nama Allahyarham Daim akan dibersihkan – isteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berpendirian agar pendakwaan terhadap suaminya, Allahyarham Tun Daim Zainuddin diteruskan bertujuan membersihkan nama bekas Menteri Kewangan itu daripada pertuduhan jenayah.

Beliau menegaskan, Peguam Negara atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu menyemak atau menamatkan pendakwaan terhadap suaminya yang didakwa gagal mengisytiharkan harta.

“Saya bagi pihak Allahyarham ingin menegaskan bahawa adalah menjadi hasratnya supaya perbicaraan diteruskan di mahkamah sehingga tamat, walau apapun terjadi kepadanya.

Daim sentiasa ternanti-nanti harinya di mahkamah dan penuh yakin bahawa akhirnya beliau akan didapati tidak bersalah,” kata Na’imah.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa.

Kes Daim dijadualkan untuk sebutan di Mahkamah Sesyen pada Rabu (esok).

Na’imah bertegas berkata demikian ketika merujuk kenyataan Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang dikeluarkan selepas pemergian Daim bahawa pendakwaan terhadapnya akan disemak semula.

Na’imah selanjutnya berkata, sejak awal siasatan SPRM lebih setahun lalu, pihaknya secara konsisten mengatakan pertuduhan ini remeh, berniat jahat dan bermotifkan politik terhadap Allahyarham.

Tegas isteri bekas Menteri Kewangan itu, pertuduhan tidak berasas kerana tiada pihak termasuk Perdana Menteri dan SPRM dapat membuktikan bentuk kesalahan yang kononnya dilakukan oleh Daim.

Dengan kata lain, tidak ada keperluan untuk Peguam Negara mahupun Ketua SPRM untuk menyemak semula, memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Daim.

“Malah kami tidak mahu memohonnya,” kata Na’imah lagi.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan membenarkan pihak-pihak cuba berselindung di sebalik kematian Daim untuk mengelak mengambil tanggungjawab di atas fitnah yang dilontarkan berulang-ulang terhadap suaminya secara terbuka.

Tambah Na’imah lagi, pembebasan Daim kelak akan membuktikan pengkhianatan dan pembohongan yang dilakukan dan beliau akan mengarahkan peguam untuk menulis kepada Peguam Negara berhubung pendirian tersebut.

Pada 29 Januari lalu, Allahyarham Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Na’imah pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Bekas Menteri Kewangan itu meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di Petaling Jaya pada 13 November lalu pada usia 86 tahun ketika menerima rawatan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat