PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan siasatan lanjut laporan berhubung murid dan pelajar sekolah dari Thailand yang merentas Sungai Golok untuk bersekolah di Rantau Panjang, Kelantan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan, pihaknya akan menyiasat perkara itu kerana ia membabitkan pergerakan jumlah murid dan pelajar yang ramai setiap hari.
“Saya ingat macam ni, kalau anak-anak ini adalah warga negara Malaysia sepatutnya dia bersekolah dalam Malaysia dan tidak timbul isu dari segi keselamatan mereka yang menyeberangi sungai itu.
“Tapi kita akan siasat dan ambil maklum tentang perkara ini kerana bilangan yang didakwa itu sangat tinggi.
“Dari segi akses pendidikan, kita telah sediakan semuanya di peringkat Kementerian Pendidikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan semula MPH Bookstores (MPH) di pusat beli belah Alamanda Putrajaya pada Selasa.
Sebelum itu, akhbar tempatan hari ini melaporkan kira-kira 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.
Lapor akhbar itu, tinjauan mendapati seawal 6.30 pagi mereka sudah mula menunggu bot untuk ke Malaysia dengan caj bot dikenakan RM1 dengan lima pangkalan haram yang menjadi tumpuan termasuk pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat semalam dilaporkan berkata polis akan menahan mana-mana rakyat Malaysia yang menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand khususnya di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Dis ini.
Kata Yusoff pihaknya akan mula menggunakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 untuk menahan rakyat Malaysia yang pergi ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan.
Ditanya mengenai pelajar sekolah dari Thailand dan Malaysia yang keluar masuk menggunakan laluan itu untuk belajar di kedua-dua negara, Yusoff berkata mereka juga perlu masuk secara sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Beliau berkata perkara berkenaan ada dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa perancangan gerakan negeri berkaitan sempadan negara.