Zahid, Annuar serah kebijaksanan Agong pilih PM, jemputan ke istana ibarat ‘lampu hijau’ Ismail Sabri PM-9

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jemputan Yang di-Pertuan Agong ke atas 114 Ahli Dewan Rakyat yang menyatakan sokongan terhadap pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seolah-olah memberi ‘lampu hijau’ kepada ahli-ahli Parlimen UMNO/BN untuk membentuk kerajaan.

Semalam Istana Negara dikhabarkan menerima 114 akuan bersumpah (SD) daripada ahli-ahli Parlimen yang menyokong Naib Presiden UMNO itu diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sementara Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan memilih Perdana Menteri marilah kita semua sebagai rakyatnya bertenang.

“Meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada kebijaksanaan, kearifan dan kecaknaan Kebawah Duli Tuanku.

“Mendoakan Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dikurniakan petunjuk oleh Allah S.W.T dan merafak setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih Kedaulatan Raja-Raja Pemerintah sebagai tunjang masa depan negara,” ucap Zahid.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memberitahu, sekiranya Ismail Sabri dipilih sebagai Perdana Menteri ia merupakan peluang memastikan negara kembali ke landasan yang benar.

“Terima kasih kepada Yang Maha Esa telah membantu perjuangan ini. Perjuangan demi menyelamatkan rakyat dan negara.

“Namun perjuangan itu belum terhenti. Bukan setakat di situ. Kini masa untuk memastikan negara kembali ke landasan yang benar.

“Kembali makmur dan sejahtera seperti yang pernah kita kecapi. Sekali lagi kita berharapkan pertolongan Allah S.W.T selepas segala daya upaya,” katanya.

Ujar Zahid, demi Malaysia terselamat daripada kedukaan dan kesedihan angkara pandemik yang belum berkesudahan.

“Kepada seluruh ahli UMNO marilah kita merapatkan saf dan bersama-sama mengharungi detik ini dengan jaya.

“Berdoa supaya segala yang baik untuk parti keramat agama, bangsa dan negara kurniaan Allah S.W.T.

“Kita mengerti apa yang telah berlaku dan apa yang perlu dilakukan semata-mata untuk rakyat dan negara,” kata Zahid.

Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh jemputan ke Istana Negara adalah isyarat Ismail Sabri muncul calon Perdana Menteri kesembilan yang sedang dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kami ahli Parlimen BN,PAS,Bersatu,GPS,STAR,PBS dan beberapa ahli Parlimen bebas pro Perikatan Nasional (PN) dititah hadir ke Istana Negara pagi ini.

“Ini isyarat bahawa (Datuk Seri) Ismail Sabri muncul calon Perdana Menteri kesembilan yang sedang dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Annuar memberitahu, Ismail Sabri adalah calon yang mendapat restu UMNO dan BN serta disokong pelbagai parti sahabat.

“Ia melambangkan muafakat, istiqamah, kejujuran, pengorbanan, kebersamaan serta politik kesederhanaan dan inklusiviti kalangan parti parti gabungan BN, PN, GPS dalam Kerajaan PN.

“Proses pemilihan sedang berjalan, penentuan muktamad adalah budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang ahli Parlimen yang pada hemat Baginda berkemungkinan mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Kita harus bersabar menunggu proses itu yang sedang berjalan sekarang.Semoga dipermudahkan Allah SWT,” kata Annuar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat