KUALA LUMPUR – Rodziah Ismail akui keliru dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengamanahkan Setiausaha Politiknya Datuk Azman Abidin untuk berkhidmat sebagai Penyelaras Parlimen Ampang sedangkan beliau masih lagi Ahli Parlimen Ampang yang sah.
Menurut Rodziah tidak sampai 12 jam selepas pengumuman peruntukan Pusat Khidmat Parlimen Ampang disekat, tidak semena-mena penyelaras Parlimen Ampang dilantik.
“Tak sampai 12 jam dari pengumuman peruntukan disekat, serta merta dilantik “penyelaras”.
“Saya masih Ahli Parlimen Ampang. Confius saya,” kata Rodziah.
Beliau menegaskan, walaupun peruntukan Pusat Khidmat Parlimen Ampang disekat, amanah kepada rakyat tidak pernah terhenti.
“Kebajikan masyarakat akan terus menjadi keutamaan melalui Projek Amal Rakyat – satu inisiatif yang digerakkan dengan semangat “dari rakyat, untuk rakyat,” katanya.
Semalam Azman memaklumkan beliau telah diberikan amanah oleh Perdana Menteri untuk berkhidmat sebagai Penyelaras Parlimen Ampang bagi memastikan penyampaian bantuan dan kebajikan kepada rakyat Ampang dapat diteruskan secara lebih tersusun, cekap dan berkesan.
“Selaras dengan tanggungjawab tersebut, saya akan menyelaras usaha bersama Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) serta agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih berkesan.
“Penyampaian bantuan ini juga akan dikoordinasikan secara rapat bersama Adun di Parlimen Ampang, pemimpin masyarakat serta pihak-pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
“Sehubungan itu, sebarang permohonan bantuan berkaitan kebajikan rakyat di Parlimen Ampang boleh dikemukakan terus kepada Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri untuk tujuan penyelarasan sewajarnya.
“Saya bersama pasukan komited untuk melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab, profesionalisme dan integriti demi memastikan kebajikan rakyat Ampang terus menjadi keutamaan,” ujar Azman.



