KUALA LUMPUR – Sebarang formula penyatuan politik Melayu melibatkan UMNO dan PAS tidak semestinya sesuai dibawa ke Sabah berikutan landskap serta kecenderungan politik pengundi negeri itu yang berbeza berbanding Semenanjung.
Bendahari UMNO Sabah yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, meskipun kerjasama UMNO-PAS mungkin mempunyai tarikan dari sudut pilihan raya di Semenanjung, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 menunjukkan pengundi negeri itu mempunyai keutamaan politik tersendiri.
Menurut beliau, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 daripada 73 kerusi pada PRN berkenaan, manakala Parti Warisan (Warisan) memperoleh 25 kerusi. Secara keseluruhan, kedua-dua kekuatan politik berteraskan Sabah itu menguasai 54 kerusi, iaitu hampir tiga perempat daripada keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“BN pula hanya memenangi enam kerusi, PN satu kerusi dan PH mengalami kemerosotan besar dengan hanya memenangi satu daripada 20 kerusi yang ditandingi.
“Ini menunjukkan sentimen kenegerian, autonomi, pembangunan dan hak-hak Sabah semakin penting dalam menentukan pilihan pengundi,” katanya.
Salleh berkata perkembangan politik di Sarawak turut memberikan gambaran yang lebih jelas apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus mengukuhkan kedudukannya melalui pendekatan politik yang menekankan kepentingan Sarawak.
Malah, katanya, UMNO tidak pernah bertapak di Sarawak, sekali gus memperlihatkan bagaimana landskap politik di Malaysia Timur mempunyai dinamik tersendiri.
Sehubungan itu, beliau berpandangan sebarang persefahaman antara UMNO dan PAS yang mungkin berkesan di Semenanjung tidak semestinya boleh diterapkan secara langsung di Sabah.
“Ia malah boleh memberi kesan sebaliknya jika dilihat sebagai formula politik yang terlalu berpusatkan Semenanjung,” katanya.
Dalam masa sama, Salleh berkata UMNO Sabah seharusnya dilihat sebagai sebuah parti nasional yang memahami realiti tempatan serta bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan, khususnya GRS.
Katanya, pendekatan politik di Sabah perlu berasaskan beberapa perkara utama, termasuk kestabilan politik, pembangunan, hak-hak Sabah dan kepentingan rakyat negeri itu.
“Formulanya perlu jelas: kestabilan politik, pembangunan, hak-hak Sabah dan kepentingan Orang Sabah.
“Kita adalah satu negara, tetapi tidak semestinya memerlukan satu formula politik dan pilihan raya yang sama di setiap negeri,” katanya.



