Gagal kemuka prestasi, DAP bergantung trilogi kempen hitam jaja nama Akmal, Najib – Pemuda MCA

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA mendakwa DAP nampaknya gagal mengemukakan rekod prestasi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan parti itu kini dilihat hanya bergantung kepada trilogi kempen hitam.

Dalam kenyataan media Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA berkata, sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sehingga kini, rakyat dapat melihat naratif “trilogi kempen hitam” yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH), terutamanya DAP.

Menurut Pemuda MCA, “trilogi kempen hitam” merujuk kepada satu siri tohmahan (kempen hitam) yang berulang atau bersambung sebanyak tiga fasa/siri (trilogi) untuk menjatuhkan reputasi seseorang individu atau entiti secara terancang.

“Inilah taktik propaganda yang sering menjadi amalan DAP dalam menyerang Barisan Nasional (BN). Antaranya, memburuk-burukkan imej penyandang Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai seorang yang rasis.

“Selain itu, mendakwa “satu undi untuk BN bermaksud satu undi untuk Datuk Dr Akmal Saleh”.

“Mendakwa “datu undi untuk BN akan membolehkan Datuk Seri Najib Razak bebas awal”, katanya menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, baru-baru ini, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Negeri Sembilan sekali lagi mengeluarkan kenyataan dengan cuba memancing undi untuk PH melalui naratif “satu undi untuk BN, satu undi untuk Akmal Saleh”.

“Namun, tindakan ini sebaliknya jelas membuktikan bahawa PH sudah ketandusan modal.

“Sebagai parti pemerintah di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri Negeri Sembilan, kegagalan mereka untuk mengemukakan rekod prestasi yang meyakinkan pengundi telah menyebabkan mereka terpaksa merendahkan martabat dengan menyerang pemimpin individu secara melulu. Perkara ini menyerlahkan dilema pemimpin generasi baharu PH yang semakin merosot kualitinya dari generasi ke generasi.

“Di samping itu, dasar-dasar Kerajaan Madani yang tidak mesra perniagaan telah berulang kali memberi tamparan hebat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

“Ditambah pula dengan kenaikan harga barang dan lonjakan kos sara hidup, kehidupan rakyat menjadi semakin terhimpit. Walaupun situasi antarabangsa sememangnya memberi kesan kepada ekonomi domestik, namun kelemahan Kerajaan Madani dalam memacu dan merangsang semula ekonomi negara, khususnya Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Perdana Menteri sendiri, pastinya tidak boleh melepaskan tangan daripada memikul tanggungjawab ini,” katanya.

Tambah Pemuda MCA lagi, rekod prestasi pentadbiran PH yang hambar serta pelbagai janji pilihan raya yang tidak ditepati telah membuatkan ramai penyokong PH berasa dikhianati.

“Dalam keadaan ketiadaan rekod pencapaian yang meyakinkan, tidak sukar untuk kita memahami mengapa PH, khususnya DAP, hanya mampu menjadikan serangan tidak berasas ke atas pemimpin individu sebagai modal utama meraih undi.

“Dalam pada itu, mereka terus membutakan mata, memekakkan telinga terhadap harapan rakyat, bahkan membisu seribu bahasa.

“PH yang memegang tampuk kuasa dilihat asyik menyerang pemimpin individu, tetapi terus mengabaikan dan buat-buat tidak nampak “gajah di depan mata”, isu-isu besar yang memerlukan perhatian serius seperti kemelesetan ekonomi, pendapatan rakyat yang tidak mampu menampung perbelanjaan, lambakan warga asing yang memonopoli perniagaan tempatan, lonjakan jumlah pekerja tempatan yang dibuang, serta pengenalan cukai baharu secara paksa. Isu-isu struktur dan langkah-langkah yang tidak mesra rakyat mahupun perniagaan ini jelas sekali bertentangan dengan aspirasi rakyat.

“Apa yang paling dikesalkan adalah kekurangan rekod prestasi Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar daripada PH, yang membawa kepada sikap iri hati PH terhadap pencapaian cemerlang Johor yang kini telah melonjak sebagai negeri dengan jumlah pelaburan asing (FDI) terbesar di Malaysia.

“Percubaan mereka untuk menumpang kredit dengan naratif “Kerajaan Persekutuan juga turut menyumbang” hanyalah taktik untuk mengambil kredit terhadap kejayaan cemerlang yang dicapai hasil titik peluh pentadbiran kerajaan,” katanya.

“Kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah merupakan loceng amaran terbesar buat PH.

“Kecenderungan corak pengundian rakyat sejak berdekad lamanya adalah bertujuan untuk memulihkan proses demokrasi Malaysia dan menukar kepada kerajaan yang berkemampuan mentadbir negara.

“Namun kini, PH yang meraih kuasa hasil “menjual” harapan palsu dan menabur janji bulan dan bintang sebaliknya terus mengabaikan masalah sebenar yang membelenggu rakyat, mengkhianati manifesto mereka sendiri, serta membelakangkan mandat rakyat.

“Oleh yang demikian, mereka wajar menerima hukuman daripada rakyat dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan yang akan datang,” kata Pemuda MCA.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat