KUALA LUMPUR – Setiausaha Pemuda Umno Hafiz Ariffin menolak keras kenyataan kononnya DAP ikhlas dalam hubungan kerjasama dengan Umno.
Penolakan Hafiz itu disandarkan kepada 11 isu yang membabitkan pertikaian tegang antara Umno dan DAP sepanjang bekerjasama di bawah payung Kerajaan Perpaduan.
“Ikhlas apanya, DAP belasah setiap isu yang Barisan Nasional (BN) bangkitkan. Consistently!
“Semua ini membocorkan rasa keyakinan kepada kerjasama PH/DAP.
“Ini adalah senarainya – incase you lupa. Isu Kalimah Allah – Mei 2025 dan isu sijil halal / Teresa Kok – 8 September 2024.
“Isu ham sandwich / label halal – 13 Januari 2025 dan Isu UEC – 16 May 2026.
“Isu URA – 21 Februari 2026 juga isu pilihan raya PBT dan pemilihan Datuk Bandar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur – Feb 2026.
“Isu sekolah vernacular – 12 Mac 2024 dan isu Jalur Gemilang terbalik – 22 Ogos 2025.
“Isu hiasan Krismas di premis halal – Disember 2025 dan isu penternakan babi di Selangor – April 2026
“Isu Tony Pua / titah Raja-Raja Melayu – May 2026. The list go on, macam ABCDEF, G… korang sambunglah,” bidas Hafiz.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching menegaskan bahawa DAP tidak pernah sesekali berpura-pura dengan Umno sebaliknya ikhlas.
Kata Nie Ching, DAP tidak mengamalkan politik mulut manis namun hati berbulu.
“Saya masih ingat, DAP turut dijemput untuk menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) untuk PRK DUN Mahkota. Masa itu, saya mewakili DAP Johor.
“Apabila wakil BN menjemput saya duduk di atas pentas, saya naik. Apabila wakil BN menyerahkan bendera dacing kepada saya, saya pegang. Kenapa? Adakah saya tidak rasa janggal?
“Bukan saya tidak rasa pelik, tetapi semua ini adalah untuk menunjukkan keikhlasan DAP dalam sama-sama menjayakan rakan kerja kami di dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita tidak bermuka dua, kita tidak mendua hati. Kita tidak berpura-pura.
“DAP adalah sebuah parti yang ikhlas.
“Kita tidak mengamalkan politik yang mulut manis, hati berbulu. Tak apalah. Orang berbudi, kita berbahasa. Umno nak lawan, kita lawan sampai menang,” tegas Timbalan Menteri Komunikasi itu.



