KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching menegaskan bahawa DAP tidak pernah sesekali berpura-pura dengan Umno sebaliknya ikhlas.
Katanya, DAP tidak mengamalkan politik mulut manis namun hati berbulu.
“Saya masih ingat, DAP turut dijemput untuk menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) untuk PRK DUN Mahkota. Masa itu, saya mewakili DAP Johor.
“Apabila wakil BN menjemput saya duduk di atas pentas, saya naik. Apabila wakil BN menyerahkan bendera dacing kepada saya, saya pegang. Kenapa? Adakah saya tidak rasa janggal?
“Bukan saya tidak rasa pelik, tetapi semua ini adalah untuk menunjukkan keikhlasan DAP dalam sama-sama menjayakan rakan kerja kami di dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita tidak bermuka dua, kita tidak mendua hati. Kita tidak berpura-pura.
“DAP adalah sebuah parti yang ikhlas.
“Kita tidak mengamalkan politik yang mulut manis, hati berbulu. Tak apalah. Orang berbudi, kita berbahasa. Umno nak lawan, kita lawan sampai menang,” tegas Timbalan Menteri Komunikasi itu.
Berkongsi lanjut, Nie Ching yang juga Ketua Wanita DAP itu berkata, pada tahun 2024 di Kluang, khususnya di kawasan DUN Mahkota, kita pernah menyaksikan kerjasama yang profesional dan baik antara Umno dan DAP.
“Semuanya demi matlamat yang sama, iaitu memenangkan calon Umno di DUN Mahkota.
“DAP adalah sebuah parti yang pragmatik dan menghormati rakan kerja.
“Selepas PRU Ke-15, tiada mana-mana gabungan parti yang mampu membentuk kerajaan. Oleh sebab itu, PH memilih untuk bekerjasama dengan BN, GPS, dan GRS bagi membentuk kerajaan.
“Dan sebagai rakan kerja, kami mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan kita. Apabila rakan kerja kita menghadapi PRK di Mahkota, kita tidak berkata, ‘Oleh sebab tiada Kerajaan Perpaduan di Johor, maka kami tidak mahu membantu Umno’
.
“Sebaliknya, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP Kebangsaan telah membuat satu keputusan: DAP Johor, khususnya DAP Kluang, perlu berkempen sepenuh hati bagi memastikan kemenangan BN,” kata Nie Ching.



