JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor menafikan dakwaan bahawa ia menjadi pihak yang mengarahkan pembatalan Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026, sebaliknya menegaskan keputusan tersebut dimaklumkan sendiri oleh FELDA melalui surat rasmi kepada Menteri Besar Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, tuduhan yang mengaitkan kerajaan negeri dengan pembatalan program itu adalah fitnah yang tidak bertanggungjawab serta mengelirukan rakyat.
Menurut beliau, surat bertarikh 16 Jun 2026 yang dihantar oleh FELDA kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, membuktikan bahawa pihak berkenaan telah memaklumkan mengenai penangguhan sambutan yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 21 Jun di FELDA Ulu Belitong.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan oleh sesetengah pihak bahawa arahan pembatalan Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 adalah daripada Kerajaan Negeri Johor. Ini adalah fitnah yang tidak bertanggungjawab, mengelirukan dan tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Zahari berkata, kerajaan negeri hanya dimaklumkan mengenai keputusan penangguhan itu empat hari sebelum program berlangsung, sekali gus menimbulkan pelbagai kesulitan kepada pihak yang terlibat dalam penganjuran.
Katanya, keputusan saat akhir itu turut mengecewakan ribuan warga peneroka dan komuniti FELDA yang telah membuat pelbagai persiapan untuk menghadiri sambutan berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa kerajaan negeri menjadi punca pembatalan program tersebut.
“Jika benar keputusan tersebut datang daripada Kerajaan Negeri Johor, mengapakah pihak FELDA pula yang mengutuskan surat rasmi kepada YAB Menteri Besar Johor bagi memaklumkan keputusan berkenaan?” soalnya.
Menurut beliau, Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor merupakan program anjuran bersama antara Kerajaan Negeri Johor dan FELDA Johor yang telah dirancang lebih awal bagi menghargai jasa warga peneroka serta memperkukuhkan hubungan dalam komuniti FELDA.
“Justeru, adalah tidak masuk akal untuk mendakwa bahawa Kerajaan Negeri menjadi pihak yang mengarahkan pembatalan program tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, Zahari mengingatkan semua pihak supaya menghentikan penyebaran fitnah dan tidak mengelirukan rakyat dengan tuduhan yang tidak disokong oleh fakta.
Terdahulu, surat rasmi FELDA Wilayah Segamat bertarikh 16 Jun 2026 memaklumkan bahawa Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian. Pihak FELDA dalam surat tersebut turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat penangguhan berkenaan.


