KUALA KANGSAR – Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Mastura Mohd Yazid bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad telah melawat tapak Projek Pasar Tani Kekal (PTK) Kuala Kangsar yang bakal memberikan manfaat kepada lebih 100 orang usahawan.

Jelasnya, pembangunan PTK Kuala Kangsar ini secara langsung dapat memberi peluang dan pendedahan kepada golongan belia mengenai teknologi terkini yang tersedia di dalam sektor pertanian sekaligus mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah terbiar milik Kerajaan.

“Hari ini amat bersejarah di dalam hal hal pentadbiran di parlimen Kuala Kangsar sebab inilah satu impian rakyat di kawasan parlimen ini dimana kita mahukan di Manong ini menjadi pusat pertanian dan hub pertanian pelbagai segi.

“Bukan sahaja untuk kawasan Kuala Kangsar tetapi persekitaran daerah yang ada di sekelilingnya.

“Selain itu ia juga dimasukkan sama aktiviti-aktivti anak muda yang sama sama menyambut hal hal yang begitu lama dirancang,” katanya.

Dalam lawatan yang sama, beliau turut melawat Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA di Manong, Kuala Kangsar yang telah dinaiktaraf atas tanah berkeluasan 4 ekar sebagai model perniagaan dan pusat rujukan pemasaran hasil pertanian berteknologi.

“Kali ini kita nampak satu susunan yang cantik oleh MAFI dan juga Menteri Besar Perak, dibawah Perak Sejahtera 2030 yang kita sambut di sini kerana pelancongan kita akan uruskan di sebelah Chandan tetapi di Manong kita akan buat satu hub pertanian terkemuka Insyallah,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan semalam Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli, Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi & Inovasi (MOSTI), Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan.

Transformasi pasar awam sebagai One Stop Centre dengan pengurusan yang lebih sistematik ini akan menyediakan 116 lot baharu terdiri daripada 8 lot runcit, 8 lot medan selera dan 100 lot terbuka yang dijangka akan meningkatkan pendapatan dan nilai jualan peserta sebanyak 30%.

Pembangunan PTK Kuala Kangsar adalah secara kerjasama strategik Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan RM3 juta manakala Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1 juta.

Untuk rekod, bilangan PTK di seluruh negara setakat ini adalah 40 dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM147.57 juta.

Manakala Pusat Rujukan Pemasaran Hasil Pertanian Berteknologi yang juga sebahagian daripada Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA dimajukan di tanah rizab Jabatan Kerja Raya (JKR) yang berkeluasan 2.5 ekar dengan mengaplikasikan konsep Internet of Things (IoT) iaitu menggunakan kaedah sistem fertigasi, hidroponik dan akuaponik dalam satu kawasan.

Kaedah ini memberikan pulangan sehingga RM90 ribu pada satu tempoh dengan pengeluaran dua komoditi iaitu sayuran berdaun organik sebanyak 3.3 tan metrik tan dan ikan tilapia sebanyak 4,000 ekor.