KUALA LUMPUR – Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’25) mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama teknologi maritim dan aeroangkasa di rantau ini serta di peringkat global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain mempamerkan aset dan teknologi pertahanan, LIMA’25 juga menjadi platform penting bagi menjalin kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak industri.
“Selamat tiba di Pulau Langkawi untuk bersama-sama menjayakan penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
“Mendoakan agar segala urusan sepanjang penganjuran LIMA’25 dipermudahkan dan pameran ini menjadi satu edisi yang bermakna dan berjaya, Insya-Allah,” ucap Anwar.
Sebanyak 426 syarikat antarabangsa dan 434 buah syarikat tempatan menyertai pameran LIMA’ 25) yang bermula esok hingga Sabtu ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum itu berkata, penyertaan daripada syarikat antarabangsa dan syarikat tempatan ke LIMA’25 menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
Kata beliau, pada LIMA’23 hanya menampilkan 299 syarikat antarabangsa dan 249 buah syarikat tempatan.
“Ia adalah cerminan bagaimana usaha-usaha kerajaan untuk membangunkan industri pertahanan telah nampak kesan-kesannya yang sangat baik dan positif. Jadi kita memang akan meneruskan usaha-usaha ini,” katanya semasa sidang media selepas melakukan tinjuan akhir persiapan LIMA’25 di Resort World Langkawi.
Tambah Mohamed Khaled, terdapat 860 pempamer yang merangkumi 426 daripada antarabangsa dan 434 lagi pula daripada tempatan menyertai LIMA’25.
Jelasnya, keseluruhan pempamer itu datang daripada 24 buah negara termasuk ASEAN dan sebagainya.
“Kita sediakan sebanyak 15 pavilion berkumpulan negara yang mewakili pelbagai sektor maritim dan aeroangkasa, merangkumi sektor komersial dan pertahanan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 140 orang delegasi daripada 46 buah negara akan menghadiri LIMA’25 iaitu terdiri daripada menteri, timbalan, menteri, ketua setiausaha kementerian dan sebagainya.
Ketika ditanya mengenai arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya LIMA’25 memberi penekanan kepada pemerkasaan syarikat tempatan, Khaled berkata, penganjuran LIMA kali ini sememangnya mengenengahkan penyertaan pemain industri tempatan.
“LIMA membuka peluang kepada kita bukan sahaja untuk memahami, mengetahui dan menyedari kemajuan teknologi yang ada dalam setiap pengeluaran aset tetapi juga membantu mewujudkan kerjasama dan ‘networking’ antara syarikat tempatan dengan syarikat luar.
“Ia pada akhirnya mencapai matlamat kita untuk memastikan berlaku pemindahan teknologi dan dari situlah ia akan membolehkan kita untuk membawa dan memberi tumpuan kepada usaha-usaha membangunkan industri tempatan kita,” jelasnya.