KUALA LUMPUR -Tapak projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) yang terbengkalai dekat Gemas, Negeri Sembilan akan dibangunkan dengan tanaman jagung bijirin.

Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) akan membangunkan tapak NFC terbengkalai itu dengan menjadikan kawasan tanaman jagung bijirin.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata projek itu akan dilaksanakan dengan usahawan kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan dijangka akan dimulakan tahun ini.

Beliau berkata, buat permulaan projek tanaman jagung itu akan membabitkan kawasan seluas kira-kira 160 hektar daripada keseluruhan lebih 600 hektar tanah yang terdapat di kawasan berkenaan.

Katanya, ini adalah projek tanaman jagung bijirin yang dianggap terbesar yang akan dilaksanakan di Negeri Sembilan.

“Buat projek lembu pun tak jadi, adalah lebih baik kita cuba majukan dengan projek lain seperti tanaman jagung bijirin.

“Tanah berkenaan adalah milik MBI dan projek ini dilaksanakan dengan usaha sama PKPS dan yang pertama dilakukan dengan agensi itu.

“Perjanjian persefahaman antara MBI dengan PKPS bagi menjayakan projek itu dilakukan di Shah Alam, hari ini,” katanya memetik BH di Seremban pada Khamis.

Aminuddin berkata, walaupun kawasan yang terbabit dengan projek tanaman jagung bijirin itu tidak besar, namun kerajaan negeri merasakan usaha ke arah menghasilkan sendiri jagung berkenaan perlu dimulakan segera.
 

“Usaha menanam jagung bijirin ini adalah antara langkah untuk menghasilkan sendiri jagung bijian dalam negara untuk dijadikan makanan ternakan terutama ayam.

“Ia sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kita atau negara kepada jagung bijian yang diimport dari beberapa negara luar,” katanya.
I
Beliau berkata, kerajaan negeri berusaha ke arah memperbanyakkan lagi projek pengeluaran makanan untuk keperluan rakyat, sebagai langkah mengelak sebarang krisis bekalan makanan pada masa hadapan.

Menurutnya, hakikatnya krisis kekurangan bekalan bahan makanan dilihat sudah berlaku di beberapa negara di mana terdapat negara tertentu yang mengeluarkan produk makanan untuk keperluan sendiri dan bukannya dieksport ke negara lain.

“Kita perlu bersiap sedia dari sekarang kerana khuatir krisis bekalan makanan boleh tercetus andai tiada persediaan awal dibuat yang akhirnya akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Justeru, tegas Menteri Besar, kerajaan negeri sedang memberi fokus ke arah itu dengan melaksanakan beberapa projek termasuk antaranya melaksanakan ternakan ikan air tawar di Gemas membabitkan kawasan kolam terbiar seluas 40 hektar.

“Kita memberi galakan kepada usahawan tempatan dan syarikat besar untuk mengusahakan projek pengeluaran makanan terutama tanaman kontang yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Untuk rekod, menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), kerajaan meluluskan peruntukan RM80 juta untuk membangunkan Program Feedlot Nasional iaitu RM40 juta untuk NFC di Gemas dan selebihnya bagi pembangunan ladang satelit fidlot di seluruh negara.

Statistik ketika itu mendapati pengeluaran daging lembu dalam negara masih di tahap rendah dengan Kadar Sara Diri pengeluaran daging lembu dianggarkan hanya 23 peratus pada tahun 2005.

NFC adalah selaras usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Dasar Pengeluaran Daging Lembu Negara untuk meningkatkan populasi ternakan lembu kepada 1.3 juta ekor dan meningkatkan pengeluaran daging lembu daripada 18 peratus kepada 28 peratus kadar sara diri (SSL) dengan pengeluaran sebanyak 45,000 tan metrik daging pada tahun 2010.