KPDNHEP Akan Bentang Siasatan Isu Kartel Pada Julai

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi pencerahan berhubung beberapa perkara semasa berkaitan harga barangan terutamanya membabitkan isu kartel.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan perkembangan siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung isu kartel yakni kajian dijangka lengkap menjelang Julai, sebelum dibentangkan untuk penelitian.

“Hasil kajian, keputusan atau langkah tertentu akan dirangka bagi menangani masalah kartel. Butiran kajian dan siasatan tidak dpt didedahkan bagi mengelak menjejaskan proses.

“Siasatan mengenai kartel dalam industri ayam oleh MyCC sedang giat dilengkapkan dan bakal dimuktamadkan, sebelum dibentang dalam tempoh terdekat,” kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Alexander berkata, susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu mana-mana pihak kini boleh mengimport barang bekalan makanan untuk menampung permintaan semasa.

“Kebanyakan AP barangan makanan bagaimanapun tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“KPDNHEP sebelum ini hanya mengeluarkan permit AP untuk mengimport dua jenis barangan makanan, iaitu tepung dan gula,” tegasnya.

Alexander juga mengulas isu penutupan sebuah ladang ayam yang ditutup. Katanya, KPDNHEP terima makluman menerusi surat rasmi, sebuah ladang ternakan ayam untuk menutup operasi selama dua hari.

“Kementerian turut mendapatkan penjelasan di sebalik langkah penutupan berkenaan. Pengusaha ladang memaklum justifikasi iaitu ayam diternak gagal mencapai berat optimum 1.8 kilogram (kg); ternakan setakat ini hanya mampu capai 1.1 kg.

“Penutupan dibuat bagi mengelakkan masalah di aspek rantaian bekalan. Elak cetus tanggapan serong dalam kalangan pembeli, pemborong.

“Peladang perlu jaga nama baik perusahaan dengan memastikan standard ayam yang dibekalkan menepati kehendak pengguna dan peniaga,” jelas beliau.

Susulan itu, Alexander memaklumkan jaminan yang dikemukakan oleh peladang iaitu penutupan bukan suatu ancaman, sama ada kepada kerajaan atau industri.

Tegasnya, ini amalan biasa jika ternakan tidak mencapai berat optimum.

Selain itu, ulas Alexander lagi penetapan upah ini tidak termasuk dalam mekanisme kawalan, tetapi KPDNHEP ambil maklum aduan orang ramai.

“Pemantauan tetap akan dibuat bagi memastikan ‘tiada caj melampau’ dikenakan terhadap pengguna.

“Pengguna dan pembeli mempunyai pilihan untuk dikenakan caj atas perkhidmatan yang diberikan.

“Peniaga diingatkan untuk tidak mengaut keuntungan secara keterlaluan menerusi penetapan ‘caj perkhidmatan’ potong ayam dan boleh disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Selain itu menurutnya, kontrak perkhidmatan Program Barang Perlu, LPG dan Community Drumming dilanjutkan bagi tempoh setahun lagi iaitu sehingga 9 Mei 2023 bagi memastikan penduduk luar bandar masih dapat menikmati harga barangan keperluan pada kadar sama seperti di bandar.

Bukan itu sahaja, Alexander juga memaklumkan, Logo Barang Kawalan Malaysia dan Logo Barang Subsidi Malaysia dilancarkan hari ini, demi menangani ketirisan dan meningkatkan kecaknaan pengguna mengenai hak mereka.

“Pelancaran Logo Barang Kawalan Malaysia dan Logo Barang Subsidi Malaysia pada hari ini. Seperti semua sedia maklum, mulai 1 Julai 2021, KPDNHEP telah menetapkan penggunaan Logo Barang Kawalan dan Logo Barang Subsidi pada barangan kawalan termasuk tepung gandum, gula dan minyak masak.

“Melalui penggunaan Logo Barang Subsidi, pengguna akan lebih maklum terhadap produk-produk bersubsidi yang disediakan oleh kerajaan untuk meringankan kos sara hidup, selain memudahkan produk bersubsidi dikesan dalam edaran pasaran, yang secara tidak langsung mengekang usaha penyelewengan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Logo Barang Kawalan pula akan memberikan kesedaran kepada pengguna akan hak-hak pengguna ke atas barang kawalan yang dilindungi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122],” jelasnya.