KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura semalam mengadakan perbincangan lanjut membabitkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, dan projek Sistem Transit Pantas (RTS) aliran Johor Bahru-Singapura

Bukan itu sahaja, Perdana Menteri, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob juga memaklumkan dua negara berjiran itu juga membincangkan isu maritim dan ruang udara Malaysia dan Singapura.

“Saya dikunjungi Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di pejabat di Putrajaya, semalam.

“Banyak perkara dibincangkan antaranya berkaitan sesi pemukiman pemimpin-pemimpin Malaysia dan Singapura ke 10, hubungan dua hala, pelaburan, pelancongan, rentas sempadan, dan perjanjian Air Sungai Johor 1962.

“Kami juga membincangkan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, dan projek Sistem Transit Pantas (RTS) aliran Johor Bahru-Singapura selain isu maritim dan ruang udara Malaysia dan Singapura,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan pada Khamis.

Perdana Menteri juga berharap semoga hubungan dua hala Malaysia dan Singapura terus kukuh demi kemajuan bersama.