Kerajaan Negeri Boleh Beli Vaksin Sendiri Kata Khairy Jamaluddin

- Advertisement -

PUTRAJAYA:Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membenarkan negeri-negeri membeli bekalan vaksin sendiri dengan syarat vaksin yang dibeli itu perlu mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menteri Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, CITF mengambil maklum bahawa jenis vaksin yang cuba diperoleh negeri-negeri tersebut sebagaimana dibuat Selangor, buat masa ini adalah dari syarikat farmaseutikal yang sama dibeli di bawah PICK.

Bagaimanapun, menurut beliau, berdasarkan syarat perjanjian antara Kerajaan Persekutuan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin berkenaan, pembekalan stok vaksin yang ditempah perlu didahulukan kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan PICK.

Katanya, perkara itu perlu diutamakan sebelum apa-apa bekalan vaksin disalurkan syarikat farmaseutikal kepada mana-mana pihak lain termasuk kerajaan negeri, pihak industri atau hospital swasta yang membuat tempahan dan pembelian selepas Kerajaan Persekutuan.

“Ia melainkan melalui pembekal yang tidak terlibat dalam PICK. CITF ingin mengulangi komitmen pembekalan vaksin yang percuma dan mencukupi kepada semua individu yang layak di setiap negeri bagi pelaksanaan PICK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata, CITF juga mengalu-alukan sebarang usaha dari mana-mana pihak yang ingin membantu PICK dengan menyumbangkan bekalan dos vaksin kepada PICK atau negeri, dengan syarat vaksin itu mendapat kelulusan NPRA.

Buat masa ini, katanya, tiga jenis vaksin yang mendapat kelulusan NPRA adalah vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

“CITF mengambil maklum tentang hasrat Yayasan Sekhar untuk menyumbangkan bekalan vaksin jenis Sinovac kepada PICK.

“Bagaimanapun, setelah diperiksa dengan pihak Sinovac di China dan Pharmaniaga iaitu pemegang lesen bagi vaksin Sinovac di Malaysia, tiada apa-apa permohonan atau pembelian mahupun dokumen rasmi berkaitan perkara ini yang dikemukakan yayasan itu,” katanya.

Justeru, katanya, CITF ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang halangan sekiranya Yayasan Sekhar atau mana-mana pihak mahu meneruskan hasrat murni itu, namun ia haruslah disusuli dengan tindakan mengikut saluran ditetapkan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, berhubung selang masa antara dua dos vaksin Covid-19 dalam program vaksinasi, Malaysia masih tetap menggunakan maklumat serta data yang dihantar syarikat pengeluar vaksin kepada NPRA berhubung perkara itu.

Katanya, sebagaimana kelulusan bersyarat yang diberikan kepada semua vaksin Covid-19 yang digunakan di negara ini, syarikat pengeluar vaksin boleh serta perlu menghantar maklumat serta perkembangan apabila terdapatnya data-data terkini daripada penggunaan vaksin keluaran mereka.

“Bagi tujuan memanjangkan selang masa antara dua dos, kumpulan pakar di bawah Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin Covid-19 (JKPCV) diketuai Dr. Kalaiarasu Peariasamy juga sedang menilai kesesuaian mekanisme itu berdasarkan penemuan serta hasil pelaksanaannya di negara lain di samping mendapatkan maklum balas daripada syarikat pengeluar vaksin.

“Keputusan lanjut berkaitan perkara ini akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan menyemak status risiko Covid-19 diri di aplikasi MySejahtera sebelum datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mendapatkan vaksin.

Jelas beliau, individu dengan status kes yang disahkan, kes suspek, kontak rapat dan individu dalam pemantauan tidak dibenarkan hadir serta masuk ke PPV.

Pada masa sama, katanya, penerima vaksin juga diingatkan agar tiba ke PPV mengikut slot masa yang diberikan dan diminta untuk tidak hadir terlalu awal bagi mengelakkan kesesakan di PPV seperti mana yang berlaku dalam beberapa hari ini.

“Penerima vaksin hanya akan dibenarkan masuk ke PPV mengikut waktu yang ditetapkan. Sekiranya seseorang individu yang menerima janji temu tidak dapat hadir, janji temu baharu akan diberikan pada suatu tarikh lain yang akan ditentukan.

“Setiap PPV mempunyai senarai menunggu yang akan dihubungi bagi menggantikan mana-mana ketidakhadiran untuk mengurangkan risiko pembaziran vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat