CYBERJAYA,— Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) mengambil langkah proaktif memperkukuh rangkaian komunikasi di seluruh negara bagi memastikan kelancaran perkhidmatan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, usaha tersebut bertujuan memastikan orang ramai terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang stabil dan berkualiti tinggi, termasuk untuk panggilan telefon, penghantaran mesej, penggunaan internet, komunikasi video serta akses kepada bantuan kecemasan.
Sejak awal Mac lalu, sebanyak 866 inisiatif pengukuhan rangkaian sementara telah dilaksanakan oleh telco di seluruh negara bagi menampung peningkatan trafik komunikasi semasa musim perayaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 774 melibatkan kerja pengoptimuman rangkaian bagi meningkatkan kualiti liputan dan kapasiti, diikuti 27 pengaktifan serta modenisasi rangkaian 5G. Selain itu, 21 penyelesaian sementara seperti Portable Base Transceiver Station (PBTS), Cellular on Wheel (CoW), Mobile Base Transceiver Station (MBTS) dan Mobile Communications Vehicle (MCV) turut digunakan bagi memperluas liputan di kawasan tumpuan.
Langkah lain termasuk 19 kerja naik taraf rangkaian, 14 inisiatif perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN), 10 pengaktifan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN), serta satu tapak baharu yang telah diaktifkan.
Menurut kenyataan itu, fokus utama pelaksanaan inisiatif ini tertumpu di kawasan yang dijangka mengalami lonjakan penggunaan seperti lebuh raya utama, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah, destinasi pelancongan serta lokasi tumpuan orang ramai sepanjang musim perayaan.
Bagi memastikan tahap perkhidmatan sentiasa berada pada tahap optimum, semua telco telah diarahkan untuk memantau prestasi rangkaian secara berterusan serta mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan atau penurunan kualiti perkhidmatan.
MCMC pula akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras dan pemantau melalui pejabat-pejabat negeri, termasuk melaksanakan pemantauan lapangan secara responsif di lokasi kritikal dan kawasan tumpuan ramai.
Dalam pada itu, orang ramai disaran menghubungi telco masing-masing sekiranya berdepan masalah rangkaian. Aduan juga boleh dibuat melalui portal rasmi MCMC bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan lebih cepat dan berkesan.
MCMC menegaskan komitmennya untuk memastikan rakyat terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar dan selamat, khususnya ketika musim perayaan apabila ramai pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama keluarga.



