LIMBANG, – Seorang petugas Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dilaporkan hilang selepas dipercayai dibawa arus deras ketika menjalankan tugas pengukuran sempadan antarabangsa Malaysia–Brunei di Sungai Pandaruan, dekat sini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dalam satu kenyataan hari ini menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam terhadap keluarga mangsa yang sedang berdepan detik sukar susulan insiden berkenaan.
Menurut beliau, tugasan pengukuran sempadan negara merupakan amanah penting yang menuntut keberanian, ketahanan fizikal serta pengorbanan tinggi, khususnya apabila melibatkan kawasan geografi mencabar seperti sungai berarus deras dan kawasan pedalaman.
“Mangsa adalah seorang penjawat awam yang berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawab demi kedaulatan dan kepentingan negara. Kami amat memahami kesedihan yang sedang ditanggung oleh ahli keluarga beliau ketika ini,” katanya.
Arthur berkata, pihak kementerian telah mengarahkan JUPEM supaya memberikan segala bentuk bantuan yang diperlukan termasuk sokongan moral dan penyelarasan kebajikan kepada keluarga mangsa sepanjang tempoh operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta proses seterusnya.
Operasi SAR kini giat dijalankan oleh pasukan keselamatan dan agensi berkaitan di Sarawak bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas rasmi tersebut.
Beliau turut menyeru orang ramai agar bersama-sama mendoakan kelancaran operasi SAR dan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian berat ini.
“Kementerian akan terus memantau perkembangan operasi dari semasa ke semasa serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan segala usaha terbaik dilaksanakan untuk menemui mangsa,” katanya lagi.
Insiden ini sekali lagi menyorot cabaran besar yang dihadapi petugas kerajaan di lapangan, khususnya dalam operasi berkaitan pengukuran sempadan negara yang sering melibatkan risiko keselamatan tinggi.



