Diletak FBI dalam senarai pengganas, Ahmad Musa, Abu Bakar tidak tahu sebab

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dua pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini yang disenaraikan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) tertanya-tanya mengapa mereka dalam pemerhatian agensi keselamatan Amerika Syarikat (AS) itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Syria Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Pengurus Besar Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Abu Bakar Abdul juga mendakwa, mereka tidak pernah menerima sebarang notis atau makluman rasmi mengenai perkara itu.

Ahmad Musa yang memimpin CSM dalam misi kemanusiaan dan bantuan kepada pelarian Syria, menegaskan beliau tidak tahu mengapa namanya tersenarai dalam TSC dan berharap ada penjelasan daripada pihak berkaitan.

“Saya percaya semua pihak yang terbabit dalam perkara ini masih tertanya-tanya, apa sebab nama mereka tersenarai, termasuklah saya sendiri kerana tidak dimaklumkan apa-apa. Alasan paling logik buat masa ini ialah saya pernah ditahan di Jordan pada 2017 kerana menolong pelarian Syria.

“Mungkin senarai FBI itu ada kaitan dengan kes di Jordan, selebihnya tak tahu apa justifikasi FBI letak nama saya dalam senarai berkenaan,” lapor BH.

Beliau menjelaskan, segala bentuk bantuan disalurkan CSM untuk Palestin dibuat melalui NGO lain, termasuk gabungan MyAqsar Defenders (MAD).

“Tiada yang kita beri (bantuan) secara terus sendiri, itu yang kita tak tahu mengapa sebab (disenaraikan). Saya rasa tidak ada kaitan dengan operasi bantuan kemanusian yang terkini, sebab kita tidak ada buat apa-apa.

“Menerusi CSM, kita memang biasa ke Syria untuk misi bantuan, tapi itu pun ada makluman kepada Wisma Putra, segala urusan dibuat bersama kedutaan Malaysia di Turki, semuanya melalui cara yang sah,” katanya.

Ahmad Musa berkata, beliau tidak terlalu risaukan dirinya, sebaliknya bimbang tindakan FBI itu akan menjejaskan operasi CSM, terutama pengurusan sekolah untuk anak-anak pelarian Syria yang dikelolakan NGO berkenaan.

Ketika ini, katanya, tiga pusat pendidikan didirikan CSM, masing-masing di Jordan dan Turki serta di Bandar Sri Putra, Bangi untuk anak pelarian Syria di Malaysia.

“Saya harap dapat penjelasan lanjut daripada FBI kerana dimaklumkan mungkin berdepan kesulitan sekiranya mahu melakukan perjalanan ke luar negara,” katanya.

CSM didaftarkan secara rasmi pada 11 Ogos 2014, pernah dikenali dengan nama Tangisan Syria Di Bumi Jordan (TSDBJ) sebelum ditukar kepada nama sekarang selepas bantuan diperluaskan kepada pelarian Syria yang berada di Turki, Lubnan dan Malaysia.

Beberapa hari lalu, tular satu surat dikeluarkan Kementerian Luar kepada Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan, Jismi Azhari Johari bahawa Abu Bakar, Ahmad Musa dan seorang lagi aktivis, masing-masing daripada tiga NGO Islam di negara ini disenaraikan dalam TSC oleh FBI.

Menerusi surat berkenaan juga, Kementerian Luar meminta Sekretariat Induk Ops Ihsan mengambil tindakan sewajarnya memastikan tiga individu itu tidak lagi terbabit dengan misi mengurus penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari mengesahkan kesahihan surat berkenaan yang diterimanya daripada Kementerian Luar, Bahagian Asia Barat pada Khamis lalu, namun tidak menyangka dokumen itu dibocor dan ditularkan di media sosial.

Ops Ihsan diilhamkan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, antara usaha Kementerian Luar sebagai penyelaras dengan pelbagai NGO bagi menggerakkan sokongan serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Ia diketuai Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) bersama lebih 50 NGO lain, termasuk Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Sementara itu, Abu Bakar berkata, beliau tidak pernah menerima makluman terus mengenai namanya disenaraikan FBI dalam TCS.

“Cuma rakan-rakan beritahu dan daripada salinan surat yang tular. Amat hairan bagaimana nama saya terkait sebab setahu saya, saya memang tidak ada terbabit dengan mana-mana pihak, individu atau kumpulan dianggap pengganas, di dalam atau di luar negara.

“Saya juga tak pernah menaja atau beri sebarang bentuk bantuan atau sokongan kepada kumpulan seperti itu, sangat pelik,” katanya tidak pasti bagaimana boleh disenaraikan, sedangkan beliau tidak pernah berurusan dengan mana-mana pihak dilabel atau didakwa pengganas.

Menjelaskan demikian kepada BH, Abu Bakar berkata, beliau akan meminta Kementerian Luar memberikan maklumat lebih lengkap bagaimana namanya boleh tersenarai dalam pemerhatian FBI berkait aktiviti pengganas.

DMDI ditubuhkan pada 2000 antara lain bagi menggalakkan kesatuan, perpaduan dan kerjasama dalam segala aspek pembangunan di antara umat Melayu Islam dengan bangsa lain di dunia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat