UMANY Ingatkan Adam Adli Mansuhkan AUKU dan PTPTN

University of Malaya Association of New Youth (UMANY) menggesa Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu dilantik, Adam Adli Abdul Halim, agar tidak melupakan tuntutan reformasi pendidikan tinggi yang pernah diperjuangkannya semasa aktif dalam gerakan mahasiswa.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasminya, UMANY menuntut Adam Adli mengambil langkah tegas dalam kapasiti beliau di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta melaksanakan pendidikan tinggi percuma, termasuk pemansuhan sistem pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut UMANY, Adam Adli merupakan tokoh penting dalam sejarah aktivisme mahasiswa dan pernah secara terbuka menentang AUKU yang disifatkan sebagai undang-undang mengekang kebebasan serta autonomi mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

“Sejarah pembentukan AUKU tidak boleh dipisahkan daripada usaha kerajaan menyekat kebangkitan mahasiswa, khususnya selepas Pilihan Raya Umum 1969 apabila aktivisme mahasiswa memberi tekanan besar kepada kerajaan,” menurut kenyataan itu.

UMANY menjelaskan bahawa AUKU yang digubal pada tahun 1971 bertujuan mengehadkan penglibatan politik dan ruang kebebasan mahasiswa, sekali gus bercanggah dengan prinsip pendidikan yang demokratik dan progresif.

Selain itu, UMANY turut menegaskan kepentingan melaksanakan pendidikan tinggi percuma sebagai satu hak asasi, selaras dengan Perkara 26 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang mengiktiraf pendidikan sebagai hak setiap individu.

“Pendidikan tinggi kini bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya keperluan asas bagi generasi muda. Latar belakang ekonomi keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang untuk memasuki universiti,” kata kenyataan tersebut.

UMANY berpandangan bahawa sistem pinjaman pendidikan seperti PTPTN pada hakikatnya berfungsi sebagai mekanisme institusi yang menafikan akses pendidikan kepada golongan berpendapatan rendah, selain membebankan graduan dengan hutang jangka panjang.

Sehubungan itu, pertubuhan tersebut menegaskan bahawa pelaksanaan pendidikan tinggi percuma merupakan reformasi utama bagi menjamin keadilan pendidikan, memperluas mobiliti sosial dan memastikan pembangunan negara yang mampan dalam jangka panjang.

UMANY berharap Adam Adli dapat memanfaatkan kedudukannya dalam kerajaan untuk merealisasikan reformasi pendidikan tinggi yang pernah menjadi teras perjuangan aktivisme mahasiswa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat