PETALING JAYA — PAS menegaskan bahawa pihak berkuasa bebas menjalankan siasatan terhadap dakwaan salah guna dana parti melibatkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun mengingatkan agar keadilan tidak dilaksanakan secara terpilih dengan mengabaikan kes-kes lain yang lebih besar dan serius.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dakwaan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Muhyiddin hanya boleh ditentukan melalui siasatan pihak berkuasa.
“Dakwaan Tun Mahathir itu dibuat terhadap seorang bekas Perdana Menteri yang sudah tidak lagi memegang kuasa. Jika pihak polis mendapati wujud asas, maka siasatan perlu dijalankan,” katanya kepada Free Malaysian Today (FMT).
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, pendedahan yang dibuat oleh bekas Ketua PKR Wangsa Maju, Lai Chen Heng, adalah jauh lebih merosakkan dan wajar diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa.
“Jika perkara seperti ini tidak disiasat dengan telus, bagaimana rakyat boleh percaya bahawa negara ini ditadbir dengan baik dan adil?” soalnya.
Pada Oktober lalu, Lembaga Disiplin PKR menggantung Lai selama setahun susulan penularan satu video yang memaparkan perbincangan berkaitan sumbangan kewangan kepada cabangnya daripada seorang ahli perniagaan berprofil tinggi.
Dalam video tersebut, Lai didakwa merujuk sumbangan itu sebagai ‘dana tidak diaudit’ yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan politik. Namun, beliau kemudiannya mendakwa klip berkenaan telah disunting secara terpilih dan disebarkan dengan niat jahat.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Tun Mahathir dalam satu video tular bahawa beliau telah mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah.
Muhyiddin menegaskan semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti dan diuruskan secara telus oleh Bendahari Agung.
Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda Bersatu Johor mendakwa rakaman video pertemuan mereka dengan Tun Mahathir telah disunting secara mengelirukan demi kepentingan politik pihak tertentu.
Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim pula menggesa Muhyiddin supaya membuat laporan polis, menyifatkan dakwaan Tun Mahathir itu sebagai “amat serius”.
Namun Muhyiddin menegaskan beliau tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Tun Mahathir kerana menghormati tokoh veteran itu dan menyokong usaha beliau ke arah penyatuan orang Melayu. – SuaraTV



