Iktiraf bak kut teh makanan warisan tak ancam Islam, jangan main sentimen pentadbiran Anwar bunuh budaya Melayu – Mahfuz

KUALA LUMPUR – Bak kut teh tidak membunuh Melayu sebaliknya, politik bodoh dan penipuanlah yang cuba membunuh keyakinan Melayu.

Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau melihat serangan pembangkang kononnya “budaya Melayu dibunuh di bawah pentadbiran Anwar” hanya kerana bak kut teh didaftarkan sebagai makanan warisan kebangsaan pada tahun 2024 adalah satu naratif dangkal, berbahaya dan memalukan akal Melayu sendiri.

“Pertama, pendaftaran sebagai warisan kebangsaan bukan pengisytiharan makanan nasional, bukan galakan orang Islam makan, dan bukan agenda menghapus budaya Melayu. Ia hanyalah proses pendokumentasian sejarah makanan komuniti, selaras dengan realiti Malaysia sebagai negara majmuk. Fakta ini mudah, tetapi sengaja diputar belit.

“Kedua, bak kut teh bukan ciptaan Anwar Ibrahim. Ia telah wujud dan dijual secara terbuka di Malaysia sejak puluhan tahun, termasuk sepanjang 22 tahun pemerintahan Tun Mahathir Mohamad, zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin dan zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kenapa ketika itu pembangkang senyap?

“Jawapannya jelas ini bukan soal makanan, ini soal kebencian politik terhadap Anwar,” dakwa Mahfuz.

Untuk makluman media sebelum ini melaporkan, hidangan sup babi, bak kut teh yang dikatakan hidangan berasal dari Klang, diiktiraf secara rasmi sebagai sebahagian daripada Warisan Negara.

Portal FMT melaporkan, hidangan itu antara 10 makanan yang diisytiharkan sebagai Warisan Negara oleh Pesuruhjaya Warisan, Mohamad Muda Bahadin.

Pengumuman itu disiarkan dalam Warta Kerajaan yang turut menyenaraikan makanan dari Johor iaitu burasak, mi kolok dan nasi ambeng; kuih tradisional seperti dodol, kuih genggang/kuih lapis, kuih karas dan uthappam; jeruk tuhau; dan minuman air katira sebagai makanan Warisan Negara.

Bak kut teh, sup babi yang diselitkan dengan herba aromatik dan rempah ratus, adalah hidangan kegemaran masyarakat Cina di negara ini dan ia dikatakan berasal dari masyarakat Hokkien di Pelabuhan Klang, yang mana ia diambil sebagai tonik berkhasiat dalam kalangan buruh dan kuli pada awal abad ke-19.

Justeru menurut Mahfuz, warisan kebangsaan tidak sama dengan halal.

Hal ini katanya, halal ditentukan oleh hukum syarak, bukan oleh Jabatan Warisan Negara.

“Kalau logik songsang pembangkang diterima, maka sejarah, budaya dan warisan bukan Islam tidak boleh langsung dikaji, didokumen atau diiktiraf. Ini bukan Islam ini ketakutan bodoh yang menyamar sebagai agama.

“Islam tidak terancam hanya kerana kerajaan mengiktiraf kewujudan budaya orang lain. Islam runtuh bukan kerana bak kut teh, tetapi kerana agama dijadikan modal politik, ketakutan ditanam dalam minda Melayu, kebencian dijual sebagai perjuangan.

“Budaya Melayu tidak mati kerana warisan kaum lain diiktiraf. Budaya Melayu mati apabila pemimpinnya menipu bangsanya sendiri, maruah Melayu dipertaruhkan demi undi, orang Melayu dianggap selemah ini kononnya boleh “hilang identiti” kerana satu hidangan makanan,” tegas beliau.

Mahfuz menegaskan, jangan hina Islam dan Melayu dengan naratif murahan ini.

“Melayu yang yakin dengan jati diri dan Islam yang matang tidak takut kepada kepelbagaian, sebaliknya takut kepada kepimpinan yang memperbodohkan rakyatnya sendiri,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat