KUALA LUMPUR – Konsortium pimpinan Berjaya yang mengambil bahagian dalam Permintaan Untuk Maklumat (RFI) oleh MyHSR untuk Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KLSG HSR) hari ini mengumumkan satu daripada rakan kongsinya, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), telah memutuskan untuk menarik diri daripada konsortium itu.
MRCB menarik diri bagi mencari peluang strategik lain dan oleh itu tidak lagi menjadi sebahagian daripada Konsortium KL-SG HSR, lapor DagangNews pada Rabu.
Kini konsortium itu terdiri daripada Berjaya Rail Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), IJM Corporation Berhad (IJM) dan rakan kongsi teknikal iaitu Deutsche Bahn, Hitachi Rail dan Hyundai Rotem.
Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun berkata, konsortium itu akan diperkukuh lagi dan lebih sejajar dengan keperluan projek yang berkembang dan untuk memenuhi jangkaan kerajaan.
“Konsortium dan rakan kongsi teknikalnya adalah peneraju yang diiktiraf dalam pembangunan infrastruktur, kejuruteraan, dan pengurusan pengangkutan, dan secara kolektif, mereka membawa kepakaran yang terbukti selama beberapa dekad menyampaikan projek infrastruktur berskala besar.
“Kami tetap teguh dalam misi kami untuk menyampaikan sistem HSR bertaraf dunia yang akan mengubah perhubungan serantau dan pembangunan ekonomi untuk Malaysia dan membantu negara peralihan yang berjaya ke arah mobiliti hijau dalam bentuk rel berkelajuan tinggi,” kata beliau.