PM bukan Melayu: Kit Siang cakap benar bukan mimpi siang hari- Marzuki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tan Sri Lim Kit Siang bahawa orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri adalah benar dari segi fakta dan realiti.

Faktanya, Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri ke-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, mereka sebagai warganegara mempunyai hak untuk mengundi, bertanding dalam pilihan raya dan, jika menang, dilantik menjadi Timbalan Menteri, Menteri hatta Perdana Menteri sekalipun.

“Inilah hak paling besar yang diperolehi oleh orang bukan Melayu hasil daripada kontrak sosial yang dicapai antara kaum-kaum di negara ini ketika negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

“Kontrak sosial ini memberi hak yang seimbang kepada semua kaum dan dengan itu Malaysia berjaya mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian kaum buat sekian lama.

“Realitinya, orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri lebih awal. Mereka tidak perlu menunggu sehingga 100 tahun atau 200 tahun. Kenapa saya kata begini?

“Pada tahun 1931, penduduk Melayu di negeri-negeri selat cuma 25 peratus sahaja berbanding 52 peratus pada tahun 1891. Di negeri-negeri Melayu bersekutu, penduduk Melayu berkurangan dari 56 peratus pada tahun 1891 kepada hanya 37 peratus pada tahun 1931.

“Hanya di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu, penduduk Melayu kekal majoriti iaitu 69 peratus. Just Faaland, Jack Parkinson dan Rais Saniman dalam bukunya “Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy” menyebut, “the large scale and unrestricted immigrations swamped the Malays”,” jelas beliau.

Marzuki berkata, jika tidak kerana Umno yang dipimpin oleh Allayarham Datuk Onn menentang Malayan Union, orang bukan Melayu telah lama menjadi kaum majoriti di negara ini kerana dasar Malayan Union ialah memberikan taraf kerakyatan sama rata kepada semua penduduk Melayu dan bukan Melayu pada ketika itu.

“Selepas rancangan Malayan Union gagal, satu kompromi telah dicapai oleh pemimpin kaum di Tanah Melayu. Penduduk bukan Melayu diberikan taraf kerakyatan secara pendaftaran dengan syarat-syarat tertentu manakala orang Melayu pula terus menikmati hak keistimewaan yang telah mereka nikmati sebelum ini sepertimana yang termaktub dalam perjanjian-perjanjian British dengan Raja-Raja Melayu.

“Maka realitinya, orang Melayu kekal menjadi kaum majoriti dan bukan Melayu menjadi minoriti yang besar di negara ini. Kerajaan juga ditadbir secara bersama oleh orang Melayu dan bukan Melayu menerusi konsep perkongsian kuasa.

“Oleh kerana orang Melayu adalah kaum majoriti, dan mereka memberikan sokongan besar kepada Umno, semua Perdana Menteri sehingga PRU 13 adalah pemimpin Melayu dari Umno,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, sokongan orang bukan Melayu kepada parti-parti politik pula ibarat “pendulum swing”.

“Ada kalanya mereka memberi sokongan besar kepada DAP. Ada kalanya mereka memberi sokongan besar kepada MCA, Gerakan dan MIC.

“DAP pernah mengalami political setback yang besar dalam PRU tahun 1999 apabila MCA dan Gerakan menang lebih banyak kerusi dan Lim Kit Siang kalah di Tanjong manakala Karpal Singh kalah di Jelutong.

“Orang bukan Melayu tidak memberikan sokongan padu kepada DAP pada ketika itu.

“Namun, realiti politik ini berubah bermula pilihanraya umum 2008. Orang bukan Melayu memberikan sokongan yang lebih padu kepada DAP dan parti sekutu DAP dalam pakatan pembangkang pada ketika itu (Pakatan Rakyat dan kemudiannya Pakatan Harapan),” katanya.

Beliau juga menyatakan, oleh kerana masalah-masalah yang dihadapi oleh Umno berkaitan isu integriti dan pengurusan ekonomi negara, sebahagian orang Melayu pun mula menjauhi Umno.

“Kesannya, Barisan Nasional(BN) yang dikuasai oleh UMNO mula mengalami kehakisan sokongan dan akhirnya kalah dalam PRU-14.

“Kekalahan BN memperkukuhkan lagi sokongan orang bukan Melayu kepada DAP. Jika sebelum ini mereka tidak nampak bagaimana BN yang diketuai oleh Umno boleh dikalahkan dan DAP boleh menjadi kerajaan, tetapi bermula PRU 12 mereka telah nampak bahawa DAP sebenarnya boleh menjadi kerajaan jika orang bukan Melayu memberikan sokongan padu kepada DAP.

“Sejak PRU 12, DAP mengetuai kerajaan di Pulau Pinang. Pada PRU 12 juga DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan di Perak dan Selangor. Pada PRU 14, DAP melalui Pakatan Harapan buat pertama kali berjaya menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Menurut Marzuki lagi, kemuncaknya ialah pada PRU 15.

“Dengan sokongan lebih 90 peratus pengundi Cina, DAP menjadi parti terbesar dalam kerajaan Persekutuan.

“Keyakinan pengundi Cina kepada DAP bertambah dalam pilihan raya negeri baru-baru ini dengan anggaran 98 peratus pengundi Cina menyokong DAP dan parti sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sesuatu yang tidak diimpikan sebelum ini telah menjadi kenyataan. Realiti telah berubah,” katanya.

Sebab itu tegas Marzuki, “Impian Malaysia” Kit Siang itu bukan main-main.

“Ia bukan mimpi di siang hari. Ahli politik veteran DAP itu seorang yang amat berstrategi. Dia tidak bercakap kosong.

“Saya percaya pada masa ini DAP telah membuat perkiraan untuk PRU 16. Dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijadualkan pada 2026, kawasan-kawasan Parlimen DAP yang berjumlah 40 pada ketika ini boleh bertambah satu kali ganda.

“Dengan trend sokongan semasa, DAP pasti menang di kawasan-kawasan ini. Selain itu, dengan kelebihan kuasa sebagai kerajaan, ‘gerrymandering’ juga boleh dibuat untuk menambah kawasan-kawasan 60:40 Melayu bukan Melayu.

“Kawasan-kawasan ini masih majoriti Melayu tetapi komposisi pengundi Melayu cuma 60 peratus.
Dengan trend sokongan padu pengundi Cina kepada DAP dan parti sekutu DAP, Pakatan Harapan hanya memerlukan 20 peratus sokongan Melayu untuk menang di kawasan-kawasan ini. 20 peratus sokongan Melayu ini akan dibekalkan oleh Umno.

“Umno tidak akan bertanding di kawasan-kawasan ini kerana ini dikira kawasan pelbagai kaum. Kawasan-kawasan ini akan menjadi rebutan sengit antara Amanah dan PKR sebagai parti pelbagai kaum.

“Inilah peluang Amanah untuk melebarkan sayapnya. It is too crowded for Umno to stake its claim on these seats.

“Umno sebagai parti Melayu akan bertanding di kawasan-kawasan majoriti Melayu melebihi 70 peratus. Dengan trend sokongan pengundi Melayu ketika ini yang tidak memihak kepada Umno, parti itu akan kalah di kawasan-kawasan ini,” ujarnya.

Marzuki menambah, jika pun Pakatan PH-BN menang dalam PRU 16, parti Melayu Umno akan jadi parti yang paling kecil dalam kerajaan dan DAP akan menjadi parti yang paling besar.

“Saya tidak mahu mengatakan pada ketika itu orang bukan Melayu akan menjadi Perdana Menteri. Mungkin belum lagi. Apapun hanya kuasa Allah yang menentukan.

“Apa yang saya ingin katakan ialah realiti politik telah berubah dan impian Lim Kit Siang itu bukanlah mimpi di siang hari. Ahli politik veteran DAP itu berkata benar,” tegas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat