RM6.6 bilion untuk Sabah tak cukup, negeri ketinggalan sentiasa diberi kurang – Ramzah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Peruntukan dana pembangunan sejumlah RM6.6 bilion iaitu 7.3 peratus daripada RM90 bilion keseluruhan belanja pembangunan daripada Belanjawan 2024 kepada Sabah disifatkan sebagai ‘tidak cukup’.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institute for Development Studies (Sabah), Prof Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, jumlah RM6.6 bilion itu tidak cukup sebab penduduk Sabah berjumlah 3.4 juta, iaitu 10.3 peratus daripada 33.1 juta populasi nasional (census terkini).

“Dalam pembentangan Bajet 2024, Sabah diberi dana pembangunan sejumlah RM6.6 bilion, iaitu 7.3 peratus daripada RM90 bilion untuk keseluruhan belanja pembangunan.

“Adakah nilai ini tinggi? Ya, jika dibanding secara relatif dengan beberapa negeri lain di Semenanjung. Tapi persoalan lebih kritikal adakah nilai ini munasabah, mengikut keperluan sebenar Sabah? Saya rasa tidak.

“Kenapa tidak? Sebab penduduk Sabah berjumlah 3.4 juta, iaitu 10.3 peratus daripada 33.1 juta populasi nasional (census terkini). Wujud mismatch di situ, kan? soal beliau dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ramzah berkata, secara fitrah mengikut nisbah penduduk, Sabah sepatutnya diberi RM 9.3 bilion dana pembangunan.

“Ya, sesuai dengan keperluan per kapita, iaitu 10.3 peratus daripada penduduk Malaysia.

“Namun begitu, dengan mengambil kira jurang sedia ada antara Sabah dan Semenanjung — negeri marginal Borneo ini juga sewajarnya diberi peruntukan melebihi keperluan fitrah (per kapita) tadi. Maksudnya, mesti lebih tinggi daripada RM 9.3 bilion.

“Malangnya, itu tidak berlaku. Bukan saja Sabah tidak diberi bajet ekstra untuk menangani isu kesenjangan wilayah. Lebih sendu lagi, Sabah tidak diberi pun bajet mengikut fitrah asas, iaitu keperluan populasi sebenar,” katanya.

Ramzah berkata, prinsip dasar “madani” adalah keadilan dan kesaksamaan. Tapi adakah ini hanya slogan bersifat kata-kata, bukan untuk dikota?

Kata beliau lagi, kita selalu dimomok dengan perbandingan sumber, tiap kali kita cuba suarakan isu kepincangan agihan bajet.

“Mereka akan sanggah, “negeri-negeri lain di Semenanjung pun tidak dapat juga peruntukan mengikut kapita”. Mari kita timbang ini, atas neraca yang lebih logik. Sebenarnya untuk adil kita cuma perlu membandingkan apa yang Sabah, Sarawak dan Semenanjung dapat. Hanya tiga entiti ini yang absah diguna sebagai sandaran analisis.

“Kenapa? Sebab kita mengukur input dana ini mengikut segmen geografi. Dalam konteks Semenanjung, pada lokasi mana pun pembangunan itu dijana, semua negeri di sana akan dapat menikmatinya secara munasabah. Menerusi keterangkaian geografi dan sistem jaringan perhubungan.

“Misalnya, limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan yang berkembang di Lembah Klang, boleh juga diakses oleh orang Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri lain. Begitu juga kutub pertumbuhan di Seberang Perai (wilayah utara) dan Johor Bharu (wilayah selatan) — seluruh Semenanjung boleh mengambil bahagian.

“Di Sabah yang luasnya lebih separuh Semenanjung, belum ada sebarang kutub pertumbuhan yang setara dengan Lembah Klang — yang boleh diakses oleh segenap komuniti di negeri marginal ini, dari Kudat sampai Tenom, dari Kalabakan sampai Kinabatangan,” jelas Ramzah.

Menurut beliau, daripada dana pembangunan RM 90 bilion itu Sabah diberi hanya 7.3 peratus, sedangkan penduduknya 10.3 peratus dan wujud defisit 3 peratus.

“Sarawak diberi hanya 7.2 peratus, tapi penduduknya 7.5 peratus. Berlaku defisit 0.3 peratus.

“Maksudnya, Semenanjung mendapat agihan dana pembangunan yang lebih tinggi nisbahnya berbanding dengan peratusan penduduk.

“Kesimpulan? Yang sudah maju selalu diberi lebih, yang masih ketinggalan sentiasa diberi kurang. Sebab itu regional disparity akan terus menjadi isu negara yang berpanjangan.

“Padang Malaysia tidak akan sama rata, sampai bila-bila,” kritik beliau.

Meski dengan segala kesongsangan ini beliau masih cuba positif dan bersyukur.

Sebab katanya, merungut-rungut saja pun, tidak akan menambahbaik apa-apa.

“Dengan dana pembangunan yang pilu itu (tidak mengikut keperluan per kapita, dan mengabaikan hakikat jurang wilayah) — kita harap perlaksanaan sekurang-kurangnya boleh dioperasikan dengan cekap dan efektif.

“Bagi Bajet 2023, prestasi penggunaan dana pembangunan di Sabah belum pun mencapai tahap 50 peratus. Padahal sekarang sudah masuk Oktober. Tinggal dua bulan lebih lagi, kalendar kewangan tahun ini akan berakhir.

“Jika bajet tahun semasa tidak dapat dibelanjakan sepenuhnya, beri peluang kepada Sabah untuk memasukkannya dalam tabung amanah negeri (sudah pun diluluskan oleh DUN Sabah). Supaya peruntukan tersebut boleh diguna untuk mendanai projek yang belum sempurna, hingga siap sepenuhnya.

“Janganlah peruntukan yang tidak terpakai itu (kerana kekangan geografi dan birokrasi) dikitar-kitar berulang kali untuk bajet tahun-tahun berikutnya.

“Yes, new budget for totally new projects and programs must be given each year. Jangan gah mendendang bajet dengan dana bilion, tapi kebanyakannya hanya projek lapuk yang tidak reti-reti siap,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat