Pembangkang senada titah Sultan Selangor, pembangunan Kampung Baru utamakan kepentingan Melayu

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan pendirian ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkait pembangunan Kampung Baru senada dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Timbalan Presiden Bersatu itu menegaskan, beliau menjunjung kasih ke atas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan bahawa sebarang keputusan atau usaha pembangunan di Kampung Baru mesti mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan jangka masa panjang.

“Titah Tuanku Sultan Sharafuddin ini jelas memperlihatkan keprihatinan baginda terhadap keresahan serta suara hati rakyat dalam isu-isu yang melingkari perihal pembangunan Kampung Bharu, terutamanya dalam konteks kelangsungan dan maruah orang Melayu.

“Inilah jua pendirian ahli-ahli Parlimen PN, yang mana kami telah suarakan secara tegas bahawa sebarang pembangunan di Kampung Baru harus mengambil kira kepentingan dan mengekalkan demografi asal penduduk di sana,” tegas Ahli Parlimen Larut itu.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menegaskan sesungguhnya Kampung Baru adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900.

Justeru, Sultan Sharafuddin menyatakan bahawa Kampung Baru memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.

Maka titah baginda, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampung Baru harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang.

“Beta ingin memberi pandangan berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur. Selepas membaca maklum balas daripada pelbagai pihak, Beta mahu agar isu ini dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

“Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

“Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru harus diambil kira,” tegas baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, Kampung Baru telah ditubuhkan pada tahun 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan daripada nenda baginda, Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S).

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat