Puchong, — Ketua Pemuda UMNO Bahagian Puchong, Khairul Azmil bin Bashir Mohamed, menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera melaksanakan Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tanpa berdolak-dalik atau melengahkan pelaksanaan yang sudah disahkan kewujudannya oleh Mahkamah Persekutuan.
Gesaan itu disuarakan dalam Persidangan UMNO Bahagian Puchong 2025 yang berlangsung semalam.
Persidangan turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Dr. Haji Mohamad Satim Diman, serta pimpinan sayap Wanita dan Puteri UMNO bahagian.
“Pemuda menuntut pihak Kerajaan melaksanakan segera Titah Addendum tersebut. Kenapa susah sangat, walhal sudah disahkan wujud oleh Mahkamah Persekutuan? Apa lagi hendak dinafi dan disorok? Satu dunia sudah tahu,” ucap Khairul Azmil.
Beliau turut menyokong kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa tidak perlu lagi membawa Titah Addendum ke Mahkamah Tinggi kerana dokumen itu telah terbukti sah dan wujud secara perundangan. Apa yang tinggal hanyalah keberanian politik untuk melaksanakannya.
Menurut Khairul tuntutan ini bukan berlandaskan kepentingan politik peribadi atau kelompok, sebaliknya menyentuh asas kenegaraan iaitu maruah Institusi Raja Berperlembagaan dan kuasa mutlak Seri Paduka Baginda dalam hal ehwal pengampunan seperti yang termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Ini bukan soal politik. Ini soal martabat Yang di-Pertuan Agong sebagai lambang kedaulatan negara dan kuasa mutlak Baginda untuk Pengampunan Diraja. Kita tidak boleh biarkan institusi ini terus dipertikaikan dengan pelbagai muslihat politik,” tegasnya lagi.
Dalam ucapan tersebut juga Ketua Pemuda UMNO Puchong itu mengingatkan para perwakilan bahawa UMNO bukanlah sekadar jambatan kuasa untuk ahli politik melompat parti, tetapi sebuah wadah perjuangan warisan bangsa yang dibina dengan darah dan air mata pejuang terdahulu.
“UMNO bukan jambatan untuk menyeberang dari satu parti kepada parti lain untuk meraih kuasa. UMNO adalah wadah perjuangan demi agama, bangsa dan tanahair yang dibina dengan keringat dan percik darah nenek moyang kita,” katanya.
Beliau juga menyentuh tentang sejarah jatuh bangun UMNO yang pernah diserang dari luar dan dalam, termasuk ditikam oleh mereka yang pernah dianggap sebagai sahabat.
“Kita pernah jatuh. Kita pernah diuji. Tetapi itu bukan alasan untuk kita menyerah. Perjuangan ini tidak pernah menjanjikan jalan yang rata. Tetapi kesetiaan dan istiqamah, itulah yang akan membuka jalan kemenangan PRU Ke-16.”
Menjelang PRU16, khairul menyeru seluruh akar umbi agar kembali bersatu hati, mengetepikan rasa kecewa atau curiga, dan mengukuhkan semula jentera Pemuda sebagai barisan hadapan kebangkitan UMNO.
“Kalau ada yang kecewa, mari kita dengar. Kalau ada yang tersisih, mari kita rangkul. Kalau ada yang ragu, mari kita yakinkan bahawa perjuangan ini bukan untuk individu, tetapi demi masa depan bangsa,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa slogan Pemuda “Bangkit Berjuang” bukanlah retorik, tetapi suatu tekad yang perlu diterjemahkan dengan tindakan.
Tekad untuk meraih semula kepercayaan rakyat dan mengembalikan UMNO sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu-Islam dan seluruh rakyat Malaysia.
Bagaimanapun untuk bangkit Khairul
mengingatkan perwakilan bahawa UMNO mesti kembali memainkan peranan sebagai benteng utama dalam mempertahankan Islam, Melayu Bumiputera, Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“UMNO mesti menjadi suara rakyat. Menjadi benteng kepada Islam, Melayu Bumiputera dan Institusi Raja. Kita bukan bangkit untuk membalas dendam, tetapi untuk membina semula negara yang stabil dan bermaruah,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru seluruh jentera Pemuda agar kembali kepada landasan perjuangan yang tulus bukan kerana individu, tetapi kerana cinta kepada UMNO.
“Kalau kita tidak setia, siapa lagi? Kalau kita tidak bangkit sekarang, bila lagi? Bangkit bukan kerana dendam, tetapi kerana cinta perjuangan. Setia bukan kerana orang, tetapi kerana parti keramat UMNO.”-SuaraTV



