Bersatu Mahu Tindakan Lebih Tegas ke Atas Pemandu Mabuk

Kuala Lumpur, — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengambil tindakan lebih tegas dan menyeluruh terhadap pemandu mabuk yang terus menjadi ancaman nyawa di jalan raya.

Gesaan ini disuarakan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, susulan tragedi yang menimpa Darna Tajudin, seorang wanita berusia 41 tahun yang meninggal dunia selepas tujuh hari bertarung nyawa di ICU akibat dirempuh pemandu disyaki mabuk ketika sedang berjogging di Jalan Apas, Tawau.

Dalam hantaran tegas di media sosial, Tun Faisal mempersoalkan sikap sambil lewa kerajaan dalam menangani isu pemandu mabuk yang terus berulang saban tahun.

“Nyawa terkorban lagi akibat pemandu mabuk. Sampai bila Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani (kononnya) hendak membiarkan pemabuk mengorbankan nyawa dan membahayakan keselamatan rakyat Malaysia?” katanya.

Menurut polis, kejadian yang meragut nyawa Darna berlaku pada malam 10 Ogos apabila sebuah Toyota Hilux hilang kawalan selepas melanggar Perodua Alza lalu terbabas ke arah laluan pejalan kaki dan merempuh mangsa. Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan mengalami kematian otak dan meninggal dunia pada pagi 17 Ogos, meninggalkan lima anak berusia antara 9 hingga 18 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tun Faisal menegaskan, sudah tiba masanya Malaysia mencontohi pendekatan negara-negara maju seperti United Kingdom, Finland, Sweden, Australia dan New Zealand yang menetapkan kawalan ketat terhadap penjualan alkohol dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan pemanduan bawah pengaruh alkohol.

Beliau mengemukakan perbandingan antarabangsa sebagai bukti bahawa negara lain berjaya menyeimbangkan kebebasan individu dengan tanggungjawab sosial melalui lesen ketat, had masa penjualan alkohol, sistem monopoli kerajaan, cukai tinggi dan tindakan keras terhadap premis atau individu yang melanggar peraturan.

“Negara-negara ini tidak mengharamkan alkohol, tetapi mereka mengurusnya dengan tanggungjawab dan keberanian politik. Di Malaysia, malangnya, kita masih tunduk kepada sensitiviti politik sempit yang menutup mata terhadap nyawa yang melayang,” ujarnya.

Tun Faisal turut menyelar ketiadaan kemahuan politik daripada kerajaan untuk merombak dasar berkaitan alkohol walaupun tragedi demi tragedi terus berlaku. Beliau menyatakan bahawa slogan ‘Madani’ hanya tinggal retorik selagi tiada tindakan konkrit yang mengutamakan nyawa rakyat.

Beliau menyeru agar kerajaan segera merangka dasar kawalan alkohol kebangsaan yang lebih tegas, menggubal semula akta berkaitan lesen dan waktu penjualan, serta mengenakan hukuman lebih berat termasuk pembatalan lesen seumur hidup terhadap pesalah berulang.

“Setiap kali berlaku kematian akibat pemandu mabuk, kita cuma dapat simpati dan janji kajian semula. Tetapi keluarga mangsa terus menderita seumur hidup. Sampai bila kita hendak biarkan?” katanya lagi.

Tun Faisal menutup kenyataannya dengan satu peringatan jelas: jika tiada tindakan segera diambil, maka kerajaan turut menanggung dosa atas setiap nyawa yang terus terkorban akibat kelemahan sistem.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat