KUALA LUMPUR- Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyambut baik pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
Namun Jawatankuasa Pemandu Bersih mengingatkan, lantikan ini tidak bermakna proses reformasi pelantikan kehakiman bagi membebaskan kehakiman daripada campur tangan eksekutif perlu berhenti.
“Merujuk secara khusus Wan Ahmad Farid yang pernah terlibat dalam politik Umno, namun pada tahun 2022 beliau telah mengambil keputusan untuk menarik diri dari mendengar kes melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan penegasan untuk beliau mengelakkan persepsi negatif rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman.
“Penegasan sebegini amat penting untuk memastikan rakyat awam menghormati badan kehakiman sebagai badan yang mengangkat prinsip kedaulatan undang-undang,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
Bersih menegaskan prinsip tersebut harus terus didukung oleh beliau terutama ketika menjalankan tugas sebagai Ketua Hakim Negara.
Dalam masa sama, Bersih juga menuntut untuk kerajaan segera melaksanakan reformasi lantikan kehakiman turutamanya dengan mengurangkan kuasa Perdana Menteri dalam lantikan hakim-hakim.
“Ini termasuklah dengan mengiktiraf Suruhanjaya Lantikan Kehakiman (JAC) sebagai badan yang diiktiraf Perlembagaan Persekutuan.
“Komposisi dalam JAC juga perlu dirombak semula untuk mengurangkan kuota lantikan Perdana Menteri dalam keanggotaan JAC dengan memasukkan wakil daripada Majlis Peguam Malaysia, wakil Sabah Law Society dan Advocate Associates of Sarawak, serta wakil daripada ahli akademik dan anggota masyarakat sivil yang berkelayakan.
“Selain itu, dari sudut pelantikan, Perdana Menteri perlu diwajibkan untuk memberikan alasan yang berasas kepada awam jika terdapat penolakan calon Hakim yang dicadangkan oleh JAC dan beliau hanya boleh menolaknya sebanyak sekali sahaja,” saran Bersih lagi.
Bersih menegaskan, kerajaan harus laksanakan janji dan komitmen untuk menghormati doktrin pengasingan kuasa dengan menambah baik sistem sedia ada.
Krisis kehakiman terburuk yang berlaku pada tahun 1988 harus dijadikan sempadan oleh semua pihak khususnya kerajaan yang memperlihat rakyat sudah tidak lagi menghormati badan kehakiman.
Baca Juga:
Ketua Hakim Negara sudah diisi, padam fitnah jahat, PM tak pernah pun usul nama Terriruddin
Wan Ahmad Farid wajar mulakan prosiding dakwaan salah laku hakim – DAP
Lantikan Wan Ahmad Farid buktikan institusi masih berfungsi, Majlis Raja-Raja bukan rubber stamp



