KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan lantikan terkini menunjukkan institusi masih berfungsi.
Bekas Peguam Kanan Persekutuan Jabatan Peguam Negara Liyana Marzuki menyifatkan semak dan imbang masih live and kicking.
Bahkan katanya, suara rakyat, melalui saluran seperti Majlis Peguam dan badan sivil, masih memberi kesan tinggi.
“Dan yang paling penting, ia juga tunjukkan bahawa kerajaan ini, walau dikritik, masih boleh dibentuk dan ditegur bila rakyat bersuara.
“Itu salah satu ciri lesser evil kepada negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Liyana berkata demikian mengulas perkenan Yang di-Pertuan Agong susulan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara; Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah & Sarawak manakala Majlis angkat sumpah dijadualkan pada 28 Julai di Istana Negara.
“Buat pertama kali dalam sejarah pelantikan Ketua Hakim Negara, seluruh prosesnya dilihat dan di-skrutini secara terbuka.
“Daripada saringan JAC, pengesyoran Perdana Menteri, perbincangan Majlis Raja-Raja, sehinggalah perkenan Agong semuanya berlangsung dalam radar rakyat.
“Dan yang lebih penting pengumuman dibuat secara rasmi oleh Istana dan Majlis Raja-Raja.
“Bukan bocor. Bukan bisik-bisik. Tapi diumumkan dengan penuh tertib.
“Dulu, kita pernah dengar bagaimana pelantikan kehakiman dilakukan secara senyap. Tetiba keluar sudah nama. Apa pun sebelum itu kita tak tahu mengenainya.
“Buktinya? Kita boleh baca dalam RCI kes VK Lingam, ia simpulkan Majlis Raja-Raja hanya menjadi pengesah lantikan bukan semak dan imbang sebenar. Majlis Raja-Raja hanya rubber stamp,” kata Liyana.
Bagaimanapun ujarnya, hari ini, keadaan berbeza dan jika benar wujud tekanan atau percubaan campur tangan sebelum ini, sudah jadi akademik.
“Pelantikan kali ini juga bukan nama-nama yang dijangka. Tiada penyambung tempoh. Tiada watak ‘favourite’.
“Ramai anggap ini pelantikan underdog dan itu bukan perkara buruk.
“Dalam sistem yang sedang dipulihkan, kadang-kadang watak yang belum pernah didengar nama, adalah lebih selamat dari watak di pentas utama,” katanya.
Namun ujar Liyana, kebimbangan tetap ada kerana Wan Ahmad Farid pernah menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.
“Pernah bertanding atas tiket Umno dan pernah menarik diri dari mendengar kes berkaitan Datuk Seri Najib Razak.
“Kini beliau memegang jawatan kehakiman tertinggi negara. Maka, apabila ada pengkritik menyuarakan soal potensi kecenderungan terhadap Umno itu bukan tuduhan liar. Itu isyarat untuk kekal peka.
Yang memberi sedikit keseimbangan ialah pelantikan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah & Sarawak. Pernah jadi hakim minoriti dan dissenting dalam kes bekas Perdana Menteri.
“Beliau bukan sahaja bebas tetapi dikenali dalam kalangan rakan guaman dan kehakiman sebagai tokoh yang berintegriti.
Suaranya lantang, pendiriannya konsisten.
“Ada ciri-ciri My Lady terdahulu. Yang kita boleh letak harapan di situ, internal check and balance akan tetap berlaku.
“Ini yang kita mahu yakni bukan tokoh yang disucikan, tapi sistem yang diperbaiki.
“Bukan keputusan yang menyenangkan semua orang, tapi proses yang boleh dipertahankan. Kita beri ruang dan kita beri peluang.
“Kerana keadilan bukan bergantung kepada seorang personaliti. Tapi keberanian rakyat untuk terus memastikan sistem berjalan atas landasan.
“Terus jalankan peranan kita sebagai rakyat yang bukan sekadar mengundi, tapi mengawasi dengan minda yang celik,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.



