Jangan Perjudikan Kedaulatan Negara Untuk Populariti Diri

CYBERJAYA: Julai lalu sedikit kegemparan berlaku apabila akhbar Financial Times yang berpangkalan di London melaporkan bahawa aset dua anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Laporan akhbar Financial Times bertajuk ‘PETRONAS subsidiaries seized as lawyers press $15bn claim on Malaysia’ ini dikira menggemparkan bila nilai aset PETRONAS yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu PETRONAS Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan PETRONAS South Caucasus S.à r.l., dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Sejurus itu, beberapa pihak mula mempersoalkan ketegasan kerajaan di dalam mempertahankan kedaulatan negara diiringi desakan mereka supaya kerajaan menjelaskan perkara ini kepada rakyat.

Pada hari yang sama, Ahli Parlimen AMANAH dari Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, memaklumkan beliau telah memfailkan usul tergempar untuk Dewan Rakyat membahaskan rampasan aset Petronas oleh waris kesultanan Sulu itu.

Usul tergempar bertarikh 12 Julai yang diajukan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) (2) berkenaan kepentingan orang ramai yang perlu disegerakan itu meminta Perdana Menteri menjelaskan apakah langkah perundangan yang telah dan sedang diambil oleh Pejabat Peguam Negara Malaysia dan Petronas ke atasnya.

Menyusuli beliau ialah Ahli Parlimen WARISAN dari Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, dan Ahli Parlimen DAP dari Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, yang mengemukakan usul serupa kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar @ Azizan Harun.

Begitupun, pada hari yang sama, 12 Julai, PETRONAS telah mengeluarkan kenyataan bagi mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai.

PETRONAS bagaimanapun menjelaskan bahawa kedua-dua anak syarikat ini telah melupuskan kesemua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah pun dipulangkan (“repatriated”) dengan sewajarnya.

Selain itu PETRONAS juga berpendirian bahawa tindakan yang diambil terhadapnya selaku sebuah syarikat sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan PETRONAS dari segi undang-undang dalam hal ini.

Keesokan harinya pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menjelaskan dengan panjang lebar betapa Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan waris kesultanan Sulu tersebut dan mempastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Dijelaskan oleh Dr Wan Junaidi betapa Mahkamah Rayuan Paris telah pada 12 Julai membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bertarikh 28 Februari yang telah dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa berikutan tuntutan oleh waris kesultanan Sulu tersebut melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Oleh itu, kesan daripada Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022 tersebut, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia.

Berikutan kejayaan Kerajaan Malaysia mendapatkan Perintah Penggantungan Final Award pada 12 Julai 2022, Kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan.

Pada 15 Julai pula Dr Wan Junaidi mengeluarkan satu kenyataan bagi mengumumkan bahawa Jemaah Menteri pada 14 Julai telah bersetuju menubuhkan Pasukan Khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia.

Pada 14 Julai juga Pejabat Perdana Menteri telah melangsungkan mesyuarat selama hampir tiga jam membabitkan PETRONAS, Jabatan Peguam Negara (AGC), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN), Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Bahagian Penyelidikan JPM, Kementerian Kewangan, ISIS Malaysia dan Pakar Bebas bagi membincangkan isu ini.

Mesyuarat, dengan input-input terperinci daripada pelbagai pihak, telah membuat beberapa ketetapan untuk memastikan aset dan kedaulatan negara terjamin.

Sebenarnya kerajaan, melalui Wisma Putra dan AGC, telah sejak 2 Mac lagi menyatakan keseriusannya menangani permasalahan yang timbul dengan menyenaraikan semua langkah yang telah diambil olehnya selama ini.

Segera ditegaskan bahawa Kerajaan Malaysia membantah Final Award yang dikeluarkan oleh Dr Stampa pada 28 Februari kerana ia bukan sahaja mencabuli kekebalan kedaulatan Malaysia malahan juga tidak mempedulikan keputusan-keputusan mahkamah di Madrid dan Paris.

Cubaan Isnaraissah Munirah mengemukakan usul tergempar bagi membincangkan Final Award tersebut di Dewan Rakyat pada 10 Mac juga telah ditolak oleh Azhar @ Azizan kerana, antara lainnya, perkara ini sudah diberikan penjelasan oleh kerajaan.

Malah, di dalam sidang Dewan Rakyat pada 10 Mac itu sendiri, Dr Wan Junaidi, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Papar dari WARISAN, Ahmad Hassan, turut menjelaskan dengan panjang lebar segala persoalan yang berbangkit daripadanya.

Walaupun sesuatu isu itu adalah berkepentingan orang ramai, apa-apa perbincangan terbuka mengenainya berpotensi untuk mendedahkan maklumat-maklumat yang akan memprejudiskan Malaysia dalam mengukuhkan kedudukannya dalam prosiding mahkamah, dan jika didedahkan akan sebaliknya digunakan oleh pihak penuntut untuk mencabar tindakan Malaysia dalam prosiding tersebut.

Sebaliknya, jika kita adalah warganegara yang peka, penelitian ke atas segala penjelasan yang telah diberikan oleh kerajaan mengenai pelbagai langkah konkrit yang telah dan sedang diambil akan memberikan kita kefahaman yang jelas mengenainya.

Oleh itu, semua pihak seharusnya tidak cuba menjadikan isu ini sebagai satu medan untuk menonjolkan diri dan mencari populariti.

Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pegawai Khas Perdana Menteri.