KOTA TINGGI: Seramai 160 usahawan muda di sekitar Johor telah menyertai Program Bijak Usahawan Muda anjuran Yayasan Bank Rakyat dengan kerjasama Persatuan Belia Bintang Selatan Johor Bahru, di sini hari ini.
Program keusahawanan yang telah dijalankan selama dua hari ini diadakan bertujuan bagi mengukuhkan pengetahuan asas keusahawanan dalam bidang perniagaan yang diceburi oleh bakal usahawan melalui modul-modul perniagaan yang diterapkan.
Melalui program ini juga peserta turut didedahkan mengenai pengurusan perniagaan melalui 3 modul bermula daripada peringkat asas, pengurusan pentadbiran serta perakaunan sehinggalah menembusi peringkat pasaran dalam talian (online) dan penjenamaan.
Menyokong usaha dalam meningkatkan ekonomi negara melalui keusahawanan, Yang Berhormat Tuan Aznan Tamin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat berbesar hati hadir bagi merasmikan majlis penutup di Dewan Seminar 49 Space Event, Kota Tinggi.
“Galakan dan dorongan perlu diberikan kepada golongan usahawan dalam merancang strategi pemasaran yang lebih baik serta memastikan perniagaan mereka mempunyai matlamat yang jelas. Ia juga secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi serta isi pendapatan rumah,” katanya.
Turut hadir adalah Syaiful Rizal Abdul Ghani Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Ruhisyam Ibrahim Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi dan Hajah Cik Nor Akmal Muhammad Pengerusi Persatuan Belia Bintang Selatan Johor Bahru.
Sementara itu, Tuan Aznan berkata, usaha ini diharapkan merupakan salah satu langkah yang terbaik khususnya membantu anak muda untuk terus bergiat aktif dalam bidang keusahawanan sebagai kerjaya utama dalam mendepani masa depan yang lebih baik.
Tambah beliau lagi, rata-rata daripada anak muda mempunyai hasil idea dan produk tersendiri untuk diperkenalkan dan dipasarkan, namun tiada bimbingan dan asas pengetahuan yang mencukupi.
Pengalaman sahaja tidak cukup dalam membantu seseorang usahawan untuk membangun dan berkembang ke peringkat seterusnya tanpa pengetahuan asas serta sokongan daripada individu atau entiti yang mahir dalam bidang perniagaan.
Justeru, YBR turut berharap dengan penganjuran program seperti ini dapat memberi satu momentum yang besar kepada usaha untuk melahirkan usahawan muda yang berdaya saing dan berdisiplin dalam memperkasakan pembangunan ekonomi masyarakat serta negara.