KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memanggil seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah.
Memetik BH di Kota Kinabalu sumber memaklumkan, Adun berkenaan tiba di ibu pejabat SPRM Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini kira-kira jam 8.45 pagi tadi.
Difahamkan, beliau antara dua Adun yang dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM hari ini, namun seorang lagi, setakat ini, belum menghadirkan diri.
Terdahulu pada 12 Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa di mahkamah berhubung dakwaan rasuah membabitkan Adun tertentu di Sabah.
Katanya, beberapa individu sudah dikenal pasti dan tindakan pendakwaan akan dilakukan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, tular beberapa rakaman video yang didakwa perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berhubung isu perlombongan mineral di negeri itu.
Susulan itu, SPRM menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk analisis forensik digital terhadap bahan bukti yang tular itu.