Public Bank diperintah bayar RM90 juta kepada NFCorp kerana dedah akaun syarikat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Mahkamah Persekutuan mengarahkan Public Bank membayar ganti rugi sebanyak RM90 juta kerana melanggar kewajipan statutori dan kerahsiaan dengan mendedahkan akaun syarikat National Feedlot Corporation (NFC) serta tiga syarikat berkaitan kepada umum.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Hashim, mengarahkan bayaran RM30 juta masing-masing bagi ganti rugi saksama, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

“Public Bank perlu membayar faedah 2 peratus ke atas jumlah itu bermula hari ini sehingga bayaran ganti rugi diselesaikan,” katanya.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Hakim Datuk Abu Bakar Jais.

Bulan lalu, mahkamah telah menolak rayuan Public Bank berhubung isu liabiliti.

Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan bahawa NFC gagal membuktikan kerugian yang dialami, menyebabkan hanya ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 diberikan.

Bagaimanapun, Hasnah berkata Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam penemuan tersebut.

“Perayu (NFC) mengemukakan laporan kewangan dan akaun teraudit melalui saksi pakar mereka,” katanya, sambil menambah bahawa bank tidak memanggil sebarang saksi bagi mencabar kredibiliti saksi tersebut, lapor FMT di Putrajaya pada Rabu.

Sehubungan itu, dokumen yang dikemukakan oleh pihak perayu kekal tidak dicabar, kata Hasnah.

NFC, pengerusinya Datuk Seri Salleh Ismail, serta dua anak syarikatnya National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd dan Agroscience Industries Sdn Bhd menuntut ganti rugi berjumlah RM560 juta.

Salleh ialah suami kepada bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. Tuntutan tersebut merangkumi RM60 juta ganti rugi am, RM250 juta ganti rugi teruk, dan RM250 juta ganti rugi teladan.

Kes ini bermula pada 2012 apabila bank didakwa membenarkan naib presiden PKR ketika itu, Rafizi Ramli, mengakses maklumat perbankan sulit.

Rafizi kemudian menggunakan maklumat tersebut bagi menyokong dakwaan terhadap NFC berhubung pinjaman kerajaan yang dikaitkan dengan pembelian hartanah.

NFC diwakili peguam Tan Sri Shafee Abdullah, Sarah Abishegam, dan Farah Mustaffa manakala Chan Kok Keong, Poh Choo Hoe, dan Tiang Min Hin mewakili pihak bank.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat