FAMA Bantu Rahimi Pasarkan Sayuran Bendi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan khidmat pengaturan pemasaran kepada seorang petani di Tangkak, Johor yang menghadapi masalah memasarkan hasil tuaian bendi ditanamnya hingga bertindak menebas pokok sayuran itu yang videonya tular baru-baru ini.

Pemangku Ketua Pengarah Fama Abdul Rashid Bahri berkata, khidmat pengaturan pemasaran itu dilaksanakan melalui Pusat Operasi Fama Tangkak sehingga keseluruhan hasil tuaian bendi dipasarkan.

Beliau berkata, Fama mengambil maklum nasib petani itu menerusi laporan disiarkan akhbar Harian Metro semalam dan berita dalam portal MyMetro kelmarin bertajuk ‘Saya tebas pokok bendi sebab geram dengan permainan orang tengah’.

“Susulan laporan itu, Fama sudah mengadakan pertemuan dengan petani berkenaan iaitu Muhd Rahimi Osman yang mengusahakan tanaman bendi berkeluasan kira-kira 0.809 hektar, bersamaan 4,000 pokok di Jalan Simpang Empat Sialang, Tangkak, Johor bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu pemasaran yang dihadapi.

“Melalui pertemuan itu, isu berlaku apabila pihak pemborong mengambil hasil tuaian bendi dengan harga yang rendah iaitu sekitar 80 sen ke RM1 per kilogram (kg) dan harga itu sangat berbeza pada sebelumnya iaitu RM2.50 per kg.

“Sehubungan itu, Fama sudah menyediakan khidmat pengaturan pemasaran kepada beliau melalui Pusat Operasi Fama Tangkak sehingga keseluruhan hasil tuaian bendi berjaya dipasarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, setiap hari, Muhd Rahimi akan membekalkan sejumlah 30 kg bendi dengan harga RM2 per kg kepada Pusat Operasi Fama Tangkak untuk dipasarkan sehingga kesemua 3,000 pokok bendi yang berhasil dituai.

Sementara itu, katanya, Fama sentiasa bersedia membantu petani yang berdepan masalah pemasaran hasil pertanian dengan menjalankan khidmat pengaturan pasaran.

“Pihak petani hendaklah menghubungi pejabat Fama berdekatan bagi mendapatkan perkhidmatan pemasaran yang diperlukan.

“Fama turut menggalakkan usahawan tani di Johor supaya mendaftar di dalam program Ladang Kontrak supaya mereka memperoleh faedah yang disediakan di bawah program ini,” katanya.

Pada 16 Mei lalu, portal Harian Metro melaporkan kecewa dipermainkan pemborong yang menawarkan harga belian terlalu rendah untuk bendi dari kebunnya menyebabkan seorang petani nekad menebas semua pokok sayur itu.

Luahan kekecewaan Muhd Rahimi atau lebih mesra dipanggil Amy itu dapat dilihat menerusi perkongsian video di TikTok dengan rata-rata netizen bersimpati selain ada yang memberikan cadangan untuknya termasuk menjual bendi itu di dalam talian. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat