Cyberjaya – Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengambil langkah terakhir di peringkat kehakiman dengan memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi menghidupkan semula saman sivil berjumlah RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, memetik laporan Free Malaysia Today.
Permohonan itu difailkan bulan lalu bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman berkenaan.
Peguam Najib, Yudistra Darma Dorai memaklumkan bahawa pihaknya telah mengemukakan tiga persoalan undang-undang bagi menyokong permohonan tersebut.
Menurutnya, tindakan sivil itu bukan bertujuan mencabar pertuduhan jenayah terhadap anak guamnya, sebaliknya berkaitan dakwaan terhadap tindakan, kelakuan serta kegagalan bekas Peguam Negara itu dalam tempoh sebelum, semasa dan selepas memegang jawatan.
Permohonan kebenaran merayu itu dijadual didengar pada 30 Julai ini.
Pada 13 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada P Ravinthran, Wong Kian Kheong dan Nadzarin Wok Nordin telah menolak rayuan Najib serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 25 November 2022 yang membatalkan saman tersebut.
Najib sebelum ini memfailkan saman pada 2020 dengan mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam jawatan awam, pendakwaan berniat jahat serta kecuaian dalam pelaksanaan budi bicara pendakwaan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, berkaitan kes melibatkan 1MDB dan International Petroleum Investment Company.
Dalam saman itu, beliau menuntut ganti rugi khas sebanyak RM1.9 juta yang didakwa digunakan untuk membiayai pasukan audit bagi meneliti dokumen serta menyediakan pembelaan dalam prosiding jenayah.
Dalam penghakiman Mahkamah Rayuan, panel hakim berpendapat tindakan tersebut adalah pramatang kerana kes jenayah belum dimulakan ketika saman difailkan.
Mahkamah turut menyatakan bahawa tort “malicious process” tidak diiktiraf dalam sistem perundangan Malaysia.
Bagaimanapun, mahkamah tidak bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi yang menyatakan bekas Peguam Negara mempunyai imuniti dan tindakannya tidak boleh dicabar di mahkamah.
Menurut panel itu, Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan kekebalan mutlak kepada Peguam Negara daripada tindakan sivil yang diambil terhadapnya secara peribadi.



