Persiapan Awal 10,000 Kit Bantuan Disediakan Untuk Mangsa Banjir – Mafi

- Advertisement -

SHAH ALAM – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menyediakan 10,000 kit bantuan sebagai persiapan awal untuk diedarkan kepada mangsa banjir terutamanya golongan petani, penternak dan nelayan di seluruh negara.

Mafi dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menggerakkan bilik gerakan kementerian itu di seluruh negara bagi membantu warga tani yang terjejas.

“Mafi sentiasa bersiap siaga dan cakna dengan setiap laporan hasil daripada pemantauan yang dijalankan. Kementerian menyediakan sebanyak 10,000 kit bantuan berupa produk agromakanan sebagai persiapan awal untuk menyantuni komuniti dan warga tani di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut Mafi, pihaknya turut menyediakan bantuan pasca bencana kepada kumpulan sasar sektor pertanian dan agromakanan yang terkesan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi tanaman padi dan Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) bagi aktiviti agromakanan selain tanaman padi.

“Untuk rekod sehingga Oktober tahun ini, sejumlah RM13.5 juta peruntukan telah disalurkan kepada seramai 2,167 petani yang terjejas akibat bencana bagi sektor tanaman padi melalui TBTP, dan sejumlah RM39.6 juta peruntukan kepada 4,833 kumpulan sasar yang terkesan melalui PPSPA,”katanya.

Selain itu, Mafi melalui agensinya, akan mengadakan sesi libat urus bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPDB) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi memastikan maklumat berhubung penyelarasan banjir sentiasa dikemas kini supaya dapat membuat hebahan awal kepada golongan sasar bagi mengurangkan kesan kerugian kepada sektor pertanian.

Terdahulu, pasukan Mafi Prihatin yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Haslina Abdul Hamid hari ini meninjau beberapa kawasan pertanian yang terjejas banjir di Daerah Klang. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat