Kenyataan eksploitasi tokoh agama Katolik timbulkan rasa terluka yang mendalam, itu bukan hiburan politik – SUHAKAM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan bahawa agama tidak boleh sesekali dieksploitasi untuk hiburan atau kepentingan politik.

SUHAKAM menegaskan, penghormatan terhadap tokoh agama, kitab suci, kepercayaan dan penganut setiap agama merupakan asas penting dalam melindungi maruah insan serta memelihara keamanan, keharmonian dan perpaduan Malaysia.

“SUHAKAM menyuarakan kebimbangan berhubung kenyataan yang dibuat baru-baru ini dalam satu perhimpunan politik, yang menggunakan tokoh agama Kristian dan petikan daripada Bible sebagai sebahagian daripada jenaka berunsur seksual.

“Tanpa mengambil kira sama ada kenyataan tersebut dimaksudkan sebagai jenaka, tokoh agama, kitab suci dan amalan keagamaan tidak seharusnya dijadikan bahan seksual, diputarbelitkan atau digunakan sebagai hiburan politik.

“Kenyataan sedemikian boleh menimbulkan rasa terluka yang mendalam dalam kalangan masyarakat beragama yang terlibat serta menjejaskan kepercayaan antara satu sama lain dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama.

“Kepelbagaian Malaysia menuntut penghormatan yang sama terhadap semua agama. Tidak seharusnya wujud sebarang dwi-standard dalam perkara yang melibatkan sensitiviti agama: mereka yang mengharapkan kepercayaan dan tradisi mereka sendiri dihormati hendaklah memberikan penghormatan yang sama kepada kepercayaan dan tradisi orang lain,” kata SUHAKAM dalam kenyataan media pada Khamis.

Menurut Suruhanjaya itu, kebebasan bersuara merupakan hak asasi yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya turut membawa tanggungjawab, khususnya apabila menyentuh soal agama dan perkara lain yang boleh menjejaskan hubungan antara masyarakat.

“Pemimpin politik dan tokoh awam, berdasarkan jangkauan serta pengaruh kata-kata mereka, memikul tanggungjawab khusus untuk mengelakkan kenyataan yang merendahkan kepercayaan atau tokoh agama, meminggirkan masyarakat atau berisiko mencetuskan permusuhan.

“SUHAKAM mengambil maklum permohonan maaf yang telah dibuat berhubung kenyataan tersebut. Dalam perkara yang melibatkan sensitiviti agama, permohonan maaf hendaklah dibuat dengan jelas, ikhlas dan tanpa syarat, serta mengakui rasa terluka yang telah ditimbulkan.

“Permohonan maaf yang bermakna hendaklah melangkaui usaha untuk menjawab kritikan awam dan menunjukkan komitmen yang sebenar untuk mengambil iktibar daripada kejadian tersebut, mengelakkan kejadian yang sama berulang dan membina semula kepercayaan.

“SUHAKAM menyeru semua pihak agar bertindak dengan tenang dan bertanggungjawab. Sebarang penilaian oleh pihak berkuasa hendaklah dilaksanakan secara bebas, tidak berat sebelah dan selaras dengan undang-undang, dengan mengambil kira sepenuhnya konteks kenyataan tersebut.

“Sebarang sekatan terhadap kebebasan bersuara hendaklah mematuhi prinsip kesahan undang-undang, berkeperluan dan berkadaran manakala penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan secara konsisten dan tanpa pilih kasih.

“Kebimbangan awam juga hendaklah dizahirkan melalui saluran yang sah dan aman. Pemimpin politik, pengulas serta pengguna media sosial hendaklah mengelakkan tindakan memperbesarkan insiden ini dengan cara yang boleh mencetuskan permusuhan, menyalahkan mana-mana kumpulan secara kolektif atau menambahkan perpecahan,” tegasnya.

Ujar SUHAKAM lagi, keharmonian antara agama di Malaysia tidak boleh sesekali dipandang ringan.

“Pengalaman Sabah dan Sarawak khususnya, menunjukkan bahawa masyarakat yang berbeza agama dan latar belakang boleh hidup bersama secara aman apabila hubungan dibina atas asas saling menghormati, kesaksamaan dan penerimaan tulen antara satu sama lain,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat