Pesawah di bawah kawasan MADA berdepan tekanan, paras air empangan terhad

KUALA LUMPUR – Kumpulan pesawah dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah berdepan tekanan yang berat apabila kedudukan paras air tiga empangan hanya 35.76 peratus disebabkan oleh fenomena El-Nino menjelang hujung tahun.

MADA dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah keseluruhan takungan air di Empangan Pedu, Muda dan Ahning kini sebanyak 437,405 ekar kaki, dan berada pada paras yang terhad.

Menurut rekod, Empangan Pedu mencatat 323,700 ekar kaki (36.99 peratus), diikuti Empangan Ahning sebanyak 98,855 ekar kaki (44.33 peratus) dan Empangan Muda 14,850 ekar kaki (11.88 peratus).

Dengan keadaan takungan air begitu, status pengairan penanaman padi musim ini akan bergantung sepenuhnya kepada keberkesanan taburan hujan yang turun.

“Keadaan itu dijangka menjadi lebih mencabar susulan unjuran MetMalaysia menunjukkan kebarangkalian fenomena El Nino meningkat sehingga 96 peratus menjelang penghujung 2026 dan berpotensi berkembang ke tahap lebih kuat.

“Keadaan cuaca panas dan kering serta risiko defisit hujan berpotensi memberi cabaran besar terhadap ketersediaan sumber air dan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda,” menurut MADA.

Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) MADA pada 14 September lalu memutuskan jadual penanaman Musim 2/2026 bagi kawasan seluas 99,489 hektar ditetapkan bermula 23 September hingga 4 November untuk Fasa 1 bagi kerja-kerja menabur benih.

“Tarikh menabur bagi Fasa II dari 3 Oktober hingga 14 November, manakala Fasa III dari 13 Oktober hingga 24 November. Oleh itu peladang diminta mematuhi jadual penanaman dan mengelak pembaziran air bagi memastikan pengeluaran beras negara terus terjamin.

“Penggunaan air secara berhemah susulan risiko El Nino dan kebergantungan tinggi terhadap taburan hujan memerlukan penggunaan pembekalan yang optimum,” katanya.

Pada masa sama, MADA juga akan menyokong keperluan pengairan di kawasan terjejas melalui pengoperasian maksimum pam guna semula air saliran serta pam bergerak di lapangan.

Sementara itu, penanaman padi bagi Musim 1/2026 bagi keseluruhan 100,641 hektar kini berada di fasa akhir berbunga dan menuai dengan peringkat pratepuan telah mencapai kadar 100 peratus, penyediaan tanah (99 peratus), peringkat tanam (98.4 peratus) dan kadar tuai (9.3 peratus).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat