Zahid Tukar Reka Bentuk LCS Pilihan TLDM Daripada SIGMA Kepada GOWIND

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mendedahkan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menukar reka bentuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) daripada SIGMA kepada GOWIND pada 2011, dan tindakan itu bertentangan dengan pendirian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perkara itu didedahkan JKSTUPKK berhubung projek pembinaan enam LCS yang dinyahklasifikasi dan diterbitkan di portal Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), pada Rabu.

Berdasarkan laporan JKSTUPKK, Zahid pada asalnya bersetuju dengan pendirian TLDM untuk memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda, selepas mendapat taklimat daripada TLDM pada 26 Mei 2011.

Namun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengubah keputusan itu kurang dua bulan kemudian dan memilih reka bentuk GOWIND dari Perancis pada 11 Julai 2011, selepas disyorkan oleh syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Zahid menukar pendirian itu hanya dua hari selepas mendapat surat daripada BNS pada 8 Julai 2011 yang mengesyorkan pemilihan reka bentuk GOWIND, sebelum BNS mengeluarkan surat niat kepada syarikat subkontraktor Perancis, DCNS pada 13 Julai 2011 untuk memulakan proses reka bentuk konsep dan penilian reka bentuk.

“Panglima Tentera Laut ketika itu, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, mempertahankan pendirian dan konsisten memilih reka bentuk SIGMA dari Belanda dalam pembinaan LCS.

“Ini jelas diperlihatkan dalam surat Panglima Tentera Laut kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada 17 Ogos 2011 dan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 September 2011,” jelas laporan itu.

Tambah JKSTUPKK, pada 14 Disember 2011, Kementerian Pertahanan telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk kelulusan mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada BNS.

“Berdasarkan kandungan SST menetapkan syarat reka bentuk GOWIND dan Combat Management System (CMS) jenama SETIS serta 17 peralatan/sub sistem.

“Pada 15 Disember 2011, MOF bersetuju meluluskan SST kepada BNS dengan had bumbung berjumlah RM9 bilion,” katanya.

Susulan itu, pada 16 Disember 2011, Kementerian Pertahanan telah memohon kepada MOF untuk membuat bayaran pendahuluan sebanyak 20 peratus daripada nilai had bumbung kontrak (RM9 bilion) iaitu bersamaan RM1.8 bilion.

Namun begitu Kementerian Pertahanan mencadangkan untuk membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta terlebih dahulu dengan mengambil kira aliran tunai kementerian itu pada tahun 2011 dan baki bayaran pendahuluan tersebut akan dibuat pada tahun 2012.

” Walau bagaimanapun, melalui surat bertarikh 21 Disember 2011. MOF bersetuju meluluskan bayaran pendahuluan sebanyak RM500 juta kepada BNS.

“Seterusnya pada 27 September 2013, ST dipinda (pindaan pertama) khususnya untuk bayaran pendahuluan kedua sejumlah RM700 juta atas rayan BNS untuk mendapatkan baki RM1.3 billion. BNS dikehendaki mengemukakan bon pelaksanaan sejumlah RM45juta.

“Jumlah keseluruhan bayaran pendahuluan yang dipersetujui di peringkat SST ialah sebanyak RM1.2 bilion atau 13.33 peratus daripada nilai kontrak RM9 bilion,” katanya.

Rundingan harga telah dilaksanakan beberapa kali dengan tawaran komersial diterima daripada BNS bernilai RM9.591 bilion pada November 2011.

Bagaimanapun, BNS kemukakan tawaran baru berjumlah RM10.524 bilion untuk pelaksanaan rundingan harga. Peringkat awalnya terdapat tiga rundingan harga; iaitu yang pertama pada 15 Oktober 2012, kedua pada 16 Oktober 2012 dan ketiga pada 5 November 2012 dengan rundingan harga dipersetujui berjumlah RM9.693 bilion.

Kemudian, pada 18 Januari 2013, Kementerian Pertahanan telah memohon kelulusan Unit Perancang Ekonomi (UPE) supaya kos projek dinaikkan kepada RM10.199 bilion untuk mengambil kira witholding tax, spesifikasi reka bentuk stealth level kapal, peningkatan fasiliti helikopter EC725, pembangunan infrastruktur Shore dan Software Integration Facility serta aktiviti ujian penerimaan sebagaimana dipohon BNS.

“UPE dalam maklum balasnya pada 27 Februari 2013, tetap mengekalkan kos projek pada RM9 bilion.

“UPE juga mencadangkan pembinaan bilangan kapal dikurangkan kepada lima buah dan menegaskan sepatutnya kos peralatan dan perkhidmatan yang
ditawarkan BNS perlu dikurangkan.

“Bagaimanapun, cadangan pengurangan kapal tersebut kepada lima buah tidak dipersetujui oleh TLDM,” dedah laporan itu lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat