Dewan Rakyat Kecoh, Mahathir Dakwa PH Runtuh Kerana Pengkhianatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari ini tergantung apabila Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan ahli Parlimen bahawa mereka tidak membahaskan rang undang-undang “pengkhianat”, tetapi Rang Undang-Undang Perbekalan (Peruntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.

“Saya ingatkan kita ini (bahas) rang undang-undang peruntukan perbelanjaan, tapi saya tak tahu ada ke rang undang-undang pengkhianat ni?” tanya beliau.

Azalina berkata demikian selepas ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak cuba membuktikan siapakah penyelamat dan pengkhianat negara.

Ia bermula dengan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) yang menyatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah penyelamat dan bukan pengkhianat.

Pembangkang melabel kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai pengkhianat selepas ia mengambil alih Putrajaya.

Shahidan berkata, bekas Perdana Menteri Tun Dr Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada Februari, yang menyaksikan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) memilih sama ada menyokong Mahathir atau Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyebabkan perpecahan undi gabungan itu.

“Muhyiddin mendapat sokongan majoriti, dia bukan pengkhianat,” kata Shahidan.

Ketika giliran Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berucap, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) bertanya siapakah pengkhianat dan penyelamat.

Azeez berkata, pemimpin PH tidak tahu Mahathir akan meletak jawatan ketika itu.

“Siapa yang khianat siapa sekarang sehingga pecah belah hari ini? Akhirnya, betul apa yang disebutkan Arau tadi. Pagoh (Ahli Parlimen) menjadi penyelamat keadaan,” katanya.

Mohamed Hanipa Maidin (PH-Amanah) mencelah dengan mengatakan perpaduan boleh dicapai dengan “menjadi pengkhianat”.

Bung menjawab bahawa Hanipa juga telah menipu partinya ketika beliau meninggalkan PAS untuk menyertai Amanah.

Beliau menambah beliau akan mengizinkan Mahathir untuk menjawab pertanyaan “siapa pengkhianat?”.

Mahathir berkata, Shahidan dan Azeez seperti tidak mengetahui apakah yang berlaku dalam “langkah Sheraton”, yang menyaksikan runtuhnya kerajaan PH.

“Kalau tak tahu, tak payah cakaplah,” tambahnya.

Beliau berkata “seseorang” telah bersetuju untuk menyertai bekas partinya PPBM kerana menolak kleptokrasi.

“Rakyat percaya akan apa yang dinyatakan oleh orang ini, setelah rakyat pilih orang ini, mereka menolak harapan rakyat dengan beralih untuk menyokong parti yang dulu.”

“Itu suatu pengkhianatan juga,” katanya, sambil menambah beberapa ahli Parlimen PH juga menyertai pembangkang pada waktu itu.

Bung kemudian mengingatkan Mahathir bahawa beliau telah menerima ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ke dalam PPBM.

Mahathir menjawab ahli Parlimen tersebut perlu keluar Umno sebelum menyertai PPBM.

Azeez berkata, Mahathir menimbulkan kekeliruan dengan kenyataan beliau.

Bung kemudian berkata: “Siapa yang mengkhianati siapa, biar rakyatlah memutuskan.”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat