KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa mahu menjadi Perdana Menteri manakala Pas pula mahu kembali ke dalam kerajaan tanpa perlu tebuk atap dan tanpa perlu menunggu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi mendakwa itu adalah matlamat jangka pendek Umno dan Pas di sebalik kerjasama dua parti itu yang bermula di Negeri Sembilan.
“Amat mustahil Bersatu menang satu kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. Oleh itu lagi baik Bersatu letak calon di kerusi yang Pas bertanding.
“Biar dua parti itu beradu kekuatan. Bersatu boleh mendedahkan perangai Pas yang tidak Islamik dalam berkawan.
“Tetapi Datuk Seri Mohamad Hasan kata BN tidak akan bertanding di semua 36 kerusi kerana BN sudah ada “rakan yang boleh dipercayai”. Sudah pasti Pas.
“Dulu Tok Mat kata, Pas tidak boleh dipercayai kerana Pas suka berselingkuh dengan janda Umno.
“Kenapa itu berlaku? Umno-Pas ada matlamat jangka pendek.
“Zahid mahu menjadi Perdana Menteri dan Pas pula mahu kembali ke dalam kerajaan tanpa perlu tebuk atap dan tanpa perlu menunggu PRU ke 16. “PM in waiting,” dakwanya.



