449 polis ditahan angkara rasuah sejak 4 tahun lalu- KPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seramai 449 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan berkaitan kesalahan rasuah dalam tempoh empat tahun sejak 2020 hingga Mei lalu.

Jumlah itu membabitkan pelbagai jenis kesalahan melibatkan tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, memang tidak dapat dinafikan bahawa kegiatan haram umpamanya aktiviti pelacuran dan perjudian masih lagi beroperasi secara berleluasa di seluruh negara.

Bagaimanapun, kata beliau, apa yang merisaukan adalah penglibatan segelintir pegawai polis dalam menerima sogokan untuk melindungi sindiket ini.

Tegas lagi, beliau tidak pernah melindungi mana-mana anggota dan pegawai yang didapati terlibat dengan kegiatan perjudian dan pelacuran.

“Sejak 2020 hingga Mei lalu, seramai 449 anggota dan pegawai PDRM ditahan melibatkan pelbagai jenis kesalahan.

“Daripada jumlah itu, seramai 197 dihadapkan ke mahkamah manakala 76 daripadanya disabitkan hukuman,” lapor Utusan.

Menurutnya, dalam tempoh sama, seramai 28 individu iaitu 10 pegawai dan 18 anggota yang ditangkap dikesan melibatkan kes perjudian dan pelacuran.

“Daripada jumlah itu, seramai lapan orang dituduh dan disabit bersalah.

“Jika dibandingkan dengan kekuatan keseluruhan PDRM seramai 134,426 orang, tangkapan tersebut hanya menyumbang kepada 0.022 peratus sahaja,” katanya.

Menyedari isu kegiatan haram tersebut dikaitkan dengan amalan rasuah serta menimbulkan persepsi negatif dan syak wasangka masyarakat terhadap PDRM, Razarudin berkata, pihaknya melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) melaksanakan pelbagai usaha serta pendekatan yang relevan dilihat mampu membanteras sebarang penglibatan anggota dan pegawai dalam isu pelacuran dan perjudian.

Jelas beliau, antaranya mengemukakan cadangan penubuhan Sekretariat Pembanteran Kegiatan Haram pada 11 Januari 2023 yang bertujuan untuk membanteras kegiatan haram yang masih beroperasi di seluruh negara.

“Pelaksanaan pemberantasan kegiatan haram dalam konteks sekretariat ini telah menggunakan teknologi sistem maklumat geografik iaitu Central Geospatial Illegal Activities Mapping System (CGIA).

“Sistem ini berupaya membantu dalam tindakan pengumpulan, penyimpanan dan penganalisaan pemetaan kegiatan haram yang besar.

“Mekanisme ini dilihat tepat kepada sasaran atau fokus kita dalam menangani isu perjudian dan pelacuran sekaligus menutup ruang dan peluang penglibatan pegawai polis dalam melindungi sindiket kegiatan haram,” katanya.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan elemen rasuah dipercayai menjadi punca utama kewujudan kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan judi haram di negara ini terus bertapak sejak sekian lama khususnya di ibu negara.

Tidak menolak kemungkinan itu, Anwar dilaporkan berkata, isu pelacuran dan judi haram di negara bukan sesuatu yang baharu sebaliknya sudah lama wujud.

Beliau percaya, kewujudan sarang pelacuran dan judi haram disebabkan berlaku elemen sogokan namun Anwar tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Saya percaya kalau ada sarang pelacuran dan perjudian haram, semua ini mesti ada elemen sogokan.
“Jadi apa yang dibicarakan tentang gambaran itu (isu pelacuran dan judi haram) berbeza daripada kenyataan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat