Perbadanan Tanah langkah startegik pertahan pemilikan hartanah Bumiputera – Razlan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Umno Bahagaian Seputeh mencadangkan supaya Perbadanan Tanah Bumiputera Wilayah Persekutuan (PTBWP) ditubuhkan di bawah akta khas yang menjamin kuasa penuh pengurusan tanah Bumiputera di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, menurut Ketuanya Datuk Mohd Razlan Rafii juga mencadangkan, setiap pembangunan semula atas tanah tamat tol wajib merangkumi peratusan pemilikan Bumiputera yang tidak boleh dilupuskan sewenangnya.

“Hanya pemaju yang bersetuju dengan model pembangunan pro-Bumiputera boleh diberikan hak membangunkan tanah terlibat.

“Juga satu audit menyeluruh dilakukan ke atas tanah-tanah strategik Bumiputera di Wilayah Persekutuan untuk dipantau dan dikawal selia oleh PTBWP,” saran Razlan.

Tegas Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi beliau mahu melihat Wilayah Persekutuan bukan sekadar membangun secara fizikal tetapi turut berkembang sebagai lambang jati diri bangsa Melayu dan Bumiputera yang berdaulat dan berdaya saing.

“Syabas dan terima kasih para Perwakilan Umno Bahagian Seputeh yang sebulat suara menyokong usul penubuhan PTBWP semasa Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seputeh 2025 yang berlangsung semalam.

“Kepimpinan Umno Bahagian Seputeh menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman cadangan ini kerana ianya adalah langkah strategik untuk mempertahan dan memperkasa pemilikan hartanah Bumiputera di dalam bandar terutamanya Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Penubuhan ini bukan sekadar tambahan institusi tetapi adalah manifestasi kepada tuntutan akar umbi yang mahukan tindakan tegas dan bersasar dalam menangani penyusutan hak milik hartanah Melayu dan Bumiputera di kawasan berprofil tinggi,” ujar beliau.

Razlan menambah, PTBWP bakal menjadi entiti pengawal selia yang proaktif dalam memastikan pemeliharaan, pemuliharaan dan pembangunan semula tanah Bumiputera secara bersepadu dan berimpak tinggi.

“Kita perlu menolak budaya lapuk jual tanah, pindah ke pinggir yang hanya mengikis dominasi ekonomi Bumiputera di pusat bandar.

“Sebaliknya, tanah-tanah belum dibangunkan yang berpotensi besar mesti dikawal rapi, tidak diserahkan secara rambang kepada pemaju tanpa mekanisme perlindungan yang telus, adil dan pro-Bumiputera.

“Dengan tertubuhnya PTBWP, tanah strategik Bumiputera akan dikenal pasti, dilindungi dan dimanfaatkan secara optimum.

“Pada masa yang sama pemilikan hartanah Bumiputera akan dipertingkat secara kolektif dan berskala besar. Diharapkan pembangunan tanah akan kembali semula kepada komuniti asal, bukan ‘terbocor’ kepada golongan berkepentingan luar,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat