9 hakim bakal bersara : PN mahu PM buat komitmen terbuka tak campur proses lantik hakim, bebas pengaruh politik – Takiyuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memandang serius kebimbangan yang semakin memuncak berikutan persaraan seramai sembilan orang hakim Mahkamah Persekutuan, termasuk Ketua Hakim Negara, dalam tempoh terdekat ini.

Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, gelombang perubahan ini dilihat bukan sahaja luar biasa, malah merupakan cabaran dan ujian terbesar terhadap komitmen Malaysia kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.

“Kenyataan tegas oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Negara, baru-baru ini adalah peringatan yang amat penting. Beliau mengimbau kembali Krisis Kehakiman 1988 sebagai detik paling gelap dalam sejarah perlembagaan negara dan mengingatkan bahawa tanggapan campur tangan politik sahaja pun sudah cukup untuk merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman.

“Walaupun penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada tahun 2009 dilihat sebagai pembaharuan, ketelusan dan kebebasan sebenar dalam pelantikan berkenaan masih menjadi tanda tanya malah kembali dipersoalkan.

“Dengan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu serta beberapa jawatan tertinggi lain bakal dibuat, PN menyeru agar proses ini benar-benar berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang khusus yang berkaitan serta benar-benar bebas daripada pengaruh politik mahupun campur tangan yang tidak sewajarnya.

“Adalah amat mendukacitakan sekiranya benar berlakunya pertelingkahan yang tidak wajar di kalangan ahli-ahli JAC dalam proses perlantikan yang bakal dibuat bagi posisi-posisi tertinggi badan kehakiman negara,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu dalam kenyataan pada Selasa.

Takiyuddin juga seorang pengamal undang-undang memaklumkan, PN imenyatakan pendirian berikut iaitu k𝐞𝐭𝐞𝐥𝐮𝐬𝐚𝐧 d𝐚𝐥𝐚𝐦 p𝐞𝐥𝐚𝐧𝐭𝐢𝐤𝐚𝐧 h𝐚𝐤𝐢𝐦; Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mestilah diberi ruang sewajarnya untuk melaksanakan fungsinya tanpa sebarang tekanan politik khususnya daripada pihak eksekutif. Justeru nama-nama yang disyorkan hendaklah berdasarkan kelayakan, integriti dan senioriti, bukan atas hubungan atau kecenderungan politik.

“𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐰𝐚𝐬𝐚𝐧 𝐏𝐚𝐫𝐥𝐢𝐦𝐞𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 s𝐞𝐢𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠; PN mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dwipartisan untuk memantau proses pelantikan bagi menjamin akauntabiliti tanpa mengganggu kebebasan kehakiman.

“Juga k𝐨𝐦𝐢𝐭𝐦𝐞𝐧 t𝐞𝐫𝐛𝐮𝐤𝐚 𝐝𝐚𝐫𝐢pada 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐧𝐚 𝐌𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐢; Perdana Menteri mesti memberi komitmen terbuka akan bertindak semata-mata berlandaskan fungsinya di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan serta tidak akan mencampuri proses pelantikan kehakiman sekali gus menghormati sepenuhnya doktrin pengasingan kuasa (the doctrine of separation of powers).

“Selain itu, r𝐞𝐟𝐨𝐫𝐦𝐚𝐬𝐢 p𝐞𝐫𝐮𝐧𝐝𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧; PN mencadangkan agar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada tahun 1988 dikaji semula dengan tujuan mengembalikan kuasa asal badan kehakiman sebagai cabang yang setara dalam pemerintahan (co-equal branch of government),” saran beliau.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, PN juga ingin menegaskan bahawa kebebasan kehakiman adalah asas sebuah demokrasi yang matang dan bukan suatu pilihan semata-mata.

“Rakyat Malaysia berhak kepada sistem perundangan yang dapat ditegakkan dengan ‘tanpa rasa takut atau pilih kasih’ (without fear of favour) serta tegas, adil dan bebas (firmly, fairly and independently).

“Sesungguhnya keputusan yang diambil hari ini akan menentukan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman untuk puluhan tahun akan datang.

“Justeru PN akan terus memainkan peranan sebagai entiti semak dan imbang yang bertanggungjawab, mempertahankan kebebasan badan kehakiman daripada sebarang bentuk pengaruh atau cubaan kembali kepada era gelap pengkhianatan perlembagaan (the dark days of constitutional betrayal),” kata Takiyuddin.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat