Adik Zahid Beli 2 Unit Banglo Terbengkalai Untuk Dijadikan Pusat Tahfiz

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa adik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi membeli dua banglo di Country Heights, Kajang bernilai RM5.9 juta menerusi cek Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-57, Pengarah Bee Garden Holdings Sdn Bhd Tan Sri Lee Kim Tiong @ Lee Kim Yew, 65, berkata cek tersebut untuk pembayaran penyelesaian jualan bagi dua buah banglo setingkat milik syarikatnya, yang dijual kepada Yayasan Al-Falah yang Mohamad Nasaee adalah pengerusi lembaga pemegang amanah yayasan tersebut.

Beliau berkata tujuan pembelian dua banglo menerusi sekeping cek bertarikh 4 Januari 2017, adalah berkaitan dengan keagamaan kerana lokasinya berdekatan dengan surau.

“Datuk Eric ada beritahu pihak yang mahu beli ada kaitan dengan keagamaan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zaidi: Tadi Tan Sri (Lee) beritahu kenal Datuk Zahid (Ahmad Zahid). Adakah Tan Sri tahu, Yayasan Al-Falah yang membeli lot-lot banglo ini ada kaitan dengan Datuk Zahid?

Lee: Saya tahu

Ahmad Zaidi: Tan Sri tahu atau tak, lot-lot tersebut akan ditukarkan untuk tujuan keagamaan, tahfiz atau pun sekolah agama Islam?

Lee: Saya tak tahu dia tukar ke apa. Tapi saya memang tahu, bila mereka (Yayasan Al-Falah) beli tanah ini, kerana banglo-banglo itu dekat dengan surau, dan ada kaitan pembelian tanah ini dengan surau itu.

Lee yang juga pengasas dan pengerusi Country Heights Holdings Berhad turut bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa dua unit banglo yang asalnya merupakan rumah contoh dijual pada bawah harga pasaran kerana keadaannya yang tidak terurus kerana lama tidak berpenghuni.

“Kedua-dua rumah itu dijual pada 2017, dengan harga RM150 sekaki.

“Saya bersetuju menjual satu lot pada haga RM3,022,500, kemudian dilaraskan menjadi RM3 juta, manakala satu lagi pada harga RM2,885,250 kemudian dilaraskan menjadi RM2.9 juta,” katanya.

Ahli perniagaan itu berkata perjanjian urusan jual beli tersebut ditandatangani olehnya dan seorang lagi pengarah Bee Garden Holdings, Nik Hassan Nik Mohd Amin bagi pihak penjual manakala Mohamad Nasaee sebagai wakil pihak pembeli.

Dalam pertuduhan pengubahan wang haram yang ke-26, Ahmad Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian dua buah rumah jenis banglo bernilai RM5.9 juta dengan menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat