Gopal Ram Enggan Ulas Dakwaan Berkomplot Dengan Mahathir Untuk Kenakan Najib

- Advertisement -

PETALING JAYA – Hakim Mahkamah Persekutuan bersara, Gopal Sri Ram enggan mengulas dakwaan Apandi Ali bahawa beliau meminta bekas peguam negara itu menangkap Najib Razak atas kesalahan yang tidak dinyatakan pada Januari 2018.

Apandi di Facebook semalam berkata Sri Ram beritahu beliau bahawa arahan tangkap itu daripada ketua pembangkang ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mendakwa Sri Ram berkata: “Tun M hantar saya untuk jumpa anda”.

“Beliau mahu kamu tangkap Najib di pejabatnya, kamu pergi esok pada 2 petang, kami sudah atur polis di Putrajaya untuk melakukan apa yang perlu atas arahanmu.”

Ketika dihubungi, Sri Ram, sekarang seorang peguam dan pendakwaraya ad hoc dalam perbicaraan Najib berkaitan 1MDB, enggan mengulas dakwaan itu.

Apandi disingkirkan selepas Pakatan Harapan, yang dipimpin Mahathir, mengambil alih kuasa pada pilihan raya umum 2018.

Dalam catatan Facebooknya, beliau berkata dakwaannya ada bukti dalam bentuk saksi dan rakaman CCTV.

Beliau berkata Sri Ram datang ke rumahnya bersama seorang peguam muda berketurunan Cina, dikatakan untuk membincangkan penolakan representasi dalam satu kes jenayah.

“Kemudian tiba-tiba, dia kata itu hanya alasan untuk berjumpa saya dan dia mempunyai agenda yang lebih besar.”

Selepas memberitahunya mengenai permintaan yang didakwa daripada Mahathir itu, Apandi berkata Sri Ram memberi jaminan bahawa sudah diatur seorang majistret akan mengeluarkan perintah reman terhadap Najib.

Beliau mendakwa Sri Ram berkata: “‘Brother’, anda akan jadi wira di mata rakyat dan anda akan jadi peguam negara pertama yang menangkap seorang perdana menteri.”

“Jangan bimbang, kami sudah buat rancangan asas, yang saya perlu sekarang adalah anda bersetuju.”

Apandi berkata beliau beritahu Sri Ram bahawa beliau akan memikirkannya walaupun Sri Ram didakwa mahukan respon segera.

“Pada ketika itu, saya dan keluarga juga diserang di media sosial, bukan sahaja dari pembangkang tetapi juga daripada tentera siber kerajaan ketika itu,” katanya.

Pada Julai 2015, satu pasukan petugas mula menyiasat Najib berhubung RM42 juta dana SRC International dan RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadinya.

Apandi, yang menggantikan Abdul Gani Patail sebagai peguam negara pada penghujung Julai 2015, membersihkan nama Najib daripada sebarang salahlaku dalam kedua-dua kes pada Januari 2016.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membuka semula kes itu pada Jun 2018. Najib kemudian didakwa atas tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa, dan pengubahan wang.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan menyampaikan keputusan sama ada untuk membebaskan atau mensabitkan Najib dalam kes SRC International pada 28 Julai.

Najib juga berdepan 4 tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan sogokan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang melibatkan jumlah yang sama.

Beliau juga dituduh meminda laporan akhir audit 1MDB. Kedua-dua perbicaraan masih di peringkat pendakwaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat