Minyak masak terpakai boleh dijual di stesen minyak terpilih PETRONAS – Johari

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Orang ramai digalakkan untuk mengumpulkan sebanyak mana yang boleh minyak masak terpakai dan seterusnya dibawa ke stesen-stesen minyak terpilih PETRONAS atau bazar-bazar Ramadan yang berkenaan untuk dijual.

Menteri Perladangan & Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata demikian ketika ucap utama program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai (UCO) sempena Ikhlas Ramadan bersama Gas Petronas di Bazar Ramadan Tapak Bazar Ramadan Desa Pandan pada Sabtu.

Johari berkata, program ini sebagai salah satu agenda Ekonomi Kitaran Agrikomoditi merupakan kolaborasi antara pihak PETRONAS Dagangan Berhad dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sejak Jun lepas bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjaga alam sekitar.

Menurutnya, program ini kelak berupaya menjana pendapatan tambahan isi rumah serta mengembangkan potensi penghasilan biobahan api yang lestari menggunakan minyak masak terpakai bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG).

Menurutnya lagi, dari Julai 2023 sehingga Februari 2024, sebanyak 205 ribu kilogram UCO berjaya dikumpulkan daripada 35 stesen minyak PETRONAS dengan penyertaan seramai 11, 593 orang awam.

“KPK dan PETRONAS menyasarkan 50 buah stesen minyak PETRONAS dengan sasaran jumlah pengumpulan sebanyak 300 ribu kilogram dan penyertaan seramai 15 ribu orang awam dan akan diperluaskan ke stesen-stesen minyaknya yang terpilih di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

“Harga pembelian semula UCO yang ditawarkan oleh pihak PETRONAS adalah RM3.00 ringgit sekilogram manakala RM2.50 sekilogram bagi kawasan di Semenanjung Pantai Barat, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

“Sempena bulan Ramadan, program pengumpulan UCO bukan sahaja di stesen minyak PETRONAS tetapi diluaskan di bazar Ramadan yang terpilih seperti di Desa Pandan, USJ4, Bandar Kinrara, Puchong Prima dan di Puncak Jalil (PUJ3),” katanya.

Tambahnya lagi, program pengumpulan minyak masak terpakai ini merupakan langkah proaktif PETRONAS sebagai persediaan untuk mengkomersialkan biobahan api penerbangan yang lestari atau Sustainable Aviation Fuel (SAF) bagi memenuhi sasaran pertumbuhan neutral karbon di sektor penerbangan antarabangsa menjelang tahun 2050.

“PETRONAS turut menjalankan program impak sosial iaitu ‘Ikhlas Ramadan’ bersama Gas PETRONAS dengan menyumbang gas memasak kepada peniaga-peniaga di bazar Ramadan yang terpilih.

“Inisiatif ini akan diperluaskan pada tahun akan datang di bazar-bazar seluruh negara dalam usaha membantu negara untuk terus memelihara alam sekitar dan membantu meningkatkan pendapatan tambahan isi rumah seluruh rakyat di Malaysia.

“Inisiatif strategik KPK ini turut mendapat sokongan padu daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) , Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (Kampung Pandan Baru),” ujarnya lagi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan & Komoditi) KPK, Dato’ Razali Mohamad dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Sani. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat