PM Harap FAM Titik Beratkan Kecemerlangan, Persediaan Rapi Agar Harimau Malaya Tak Mudah Kecundang

KUALA LUMPUR – Arena Bola sepak negara hanya akan maju apabila melibatkan pembangunan pemain yang sistematik bermula dari peringkat akar umbi dan seterusnya menggilap bakat mereka sehingga menjadi aset terbaik negara.

Hal ini kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam bola sepak, pembangunan pemain bola sepak bukan setakat infrastruktur yang canggih dan moden semata-mata.

“Pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan memerlukan semangat profesionalisme yang tinggi. Sikap profesional menuntut sesebuah organisasi dan juga individu untuk membuat perancangan yang rapi. Failing to plan is planning to fail.

“Jika kita memperhebatkan program pembangunan seperti akademi yang bermula daripada daerah dan seterusnya negeri, kita juga akan dapat melahirkan pemain-pemain yang bagus dan berbakat besar,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Presint 5, Putrajaya pada Isnin.

Tegas beliau, sejajar dengan pembangunan ini, saya sebagai penyokong Harimau Malaya mewakili seluruh Keluarga Malaysia, amat mengharapkan FAM akan menitikberatkan kecemerlangan serta persediaan yang lebih baik dan rapi sebelum perlawanan agar kita tidak mudah kecundang.

Perdana Menteri sedar apabila bercakap soal pembangunan bola sepak, tanggungjawab itu tidak seharusnya dipikul oleh FAM semata-mata.

Menurutya, ia wajar menjadi agenda nasional, dengan kerjasama kementerian yang berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta yang boleh menyumbang dari segi sokongan material dan fizikal.

“Sasaran ini mampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM sentiasa menambah baik hala tuju dalam tempoh 12 tahun ini dari semasa ke semasa dan tidak lari daripada objektif asal mereka.

“Seorang pemain bola sepak yang berbakat perlu dibimbing oleh jurulatih yang terbaik dari usia muda. Seorang jurulatih pula perlu
mendapat tunjuk ajar dariapda instruktur atau jurulatih pakar.

“Proses ini bukanlah satu rahsia besar tetapi menjadi formula kejayaan untuk mana-mana pasukan.

“Dengan kemahiran teknikal yang dimiliki hasil daripada bimbingan jurulatih yang hebat, ia sekaligus meningkatkan kebolehpasaran
pemain bukan sahaja di liga tempatan malah ke peringkat antarabangsa,” tegasnya.

Dalam pada itu, kata Perdana Menteri lagi beliau dimaklumkan pembinaan Ibu Pejabat FAM yang baru ini akan bermula pada tahun ini dan merupakan ibu pejabat ketiga FAM.

Wisma FAM yang terletak di Kelana Jaya telah beroperasi sejak lewat 1980.

“Syabas diucapkan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan barisan exco FAM atas inisiatif ini, menerusi usaha sama dengan pemaju.

“Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Hamidin dalam ucapannya, beliau meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah yang merupakan Presiden FAM dari tahun 1984 hingga 2014, untuk membina sebuah ibu pejabat yang menepati aspirasi dan tuntutan bola sepak moden yang berprestasi tinggi.

“Ini adalah satu penghormatan paling besar yang boleh kita berikan sebagai usaha menghidupkan legasi Almarhum. Semoga Allah SWT
mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum atas segala jasa dan sumbangan Baginda dalam sukan, khususnya bola sepak.

“Tapak seluas 6 ekar ini akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan FAM serta pelbagai fasiliti yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan,” ujarnya.

Tambah Ismail Sabri lagi majlis pecah tanah hari ini merupakan simbolik permulaan kepada pembangunan infrastruktur atau perkakasan kepada FAM kerana
bakal menyediakan pelbagai fasiliti.

Namun begitu katanya, seperti juga mana-mana organisasi kerajaan mahupun bukan kerajaan, pembangunan perisian atau ‘software’ dalam kecemerlangan modal insan wajar diutamakan melalui perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara.

“Kerana itu, sentiasa menjadi harapan peminat dan penyokong Harimau Malaysia agar FAM dapat melahirkan pemain-pemain yang berkualiti dan membangunkan fasiliti secara terancang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Sebagai balasan, dengan bantuan modal insan yang ada dalam FAM, badan induk sukan bola sepak negara ini boleh menjamin pulangan atas pelaburan (ROI) bagi memenuhi tuntutan penaja.

“Saya berharap projek pembinaan ibu pejabat FAM ini dapat dilaksanakan dengan jayanya agar menjadi sumber kekuatan kepada tadbir urus FAM dalam membentuk pasukan kebangsaan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta mampu membangunkan modal insan yang mahir dari segi teknikal,
pengurusan, kepengadilan dan kejurulatihan,” ucap Perdana Menteri.