Diasak kiri dan kanan, Ketua Pengarah J-KOM akhirnya letak jawatan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Desas-desus Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff akan meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) sebelum akhir tahun ini semakin kuat.

Menurut sumber, Dr Mohammad Agus telah menghantar surat peletakan jawatan berkuatkuasa pada 15 Disember 2023. Setakat ini belum dipastikan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima peletakan jawatan tersebut atau tidak.

Pada Ogos lalu, seorang pemimpin DAP menyarankan agar kerajaan menukar Ketua Pengarah J-KOM berikutan kegagalan agensi itu dalam penyampaian maklumat, terutama berkaitan inisiatif kerajaan kepada rakyat.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, menyarankan pertukaran itu dilakukan berikutan banyak manfaat dan insentif diperkenalkan kerajaan dalam membantu rakyat tidak diketahui masyarakat.

“Tukar pengarah J-KOM. Penyampaian maklumat manfaat atau insentif diberikan Kerajaan Persekutan kepada rakyat tak sampai ke bawah pun.

Awal November pula, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN) mencadangkan agar kerajaan membubarkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) kerana menurutnya gagal menjalankan peranannya secara berkesan.

“Apakah mekanisme mengukur kejayaan fungsi J-Kom dan sejauh mana ia berkesan menjadi medium mendedahkan ilmu politik kepada belia?

“Dulu PH sendiri desak mansuh Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) kerana kata ia akan jadi (alat) propaganda kerajaan. Sekarang kita J-Kom (jadi alat) serang pembangkang,” kata beliau ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun kesukaran bekas Profesor UKM ini mengemudi J-KOM bukan perkara baharu.

Pelantikan Mohammad Agus sendiri penuh kontroversi. Pada Disember 2022 beliau memberitahu media tidak akan menerima tawaran sebagai Ketua Pengarah J-Kom. Bagaimanapun pada Februari 2023, bekas profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menerima pelantikan jawatan yang sama.

Sejak memegang jawatan, Mohammad Agus dilihat lebih bertindak sebagai ‘cybertrooper’ parti memerintah berbanding sebagai seorang pemimpin agensi kerajaan. Beliau sendiri kemudiannya tampil menafikan bertindak sebagai cybertrooper kerajaan.

Nama Mohammad Agus turut terkait dalam kontroversi perubahan mengejut Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Perdana Menteri pada April lalu.

Pada April 2023, SuaraTV melaporkan Datuk Wan Nurzila Abd Rahman meletak jawatan sebagai Pengarah bahagian tersebut dengan notis 24 jam.

Menurut laporan tersebut, krisis antara Wan Nurliza dan J-KOM dikatakan antara punca peletakan jawatan tersebut. Strategi komunikasi Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan J-KOM dilihat mempunyai hala tuju berbeza menyebabkan imej kerajaan kian lemah.

Dalam laporan tersebut SuaraTV turutmelaporkan desas-desus mengenai krisis Mohammad Agus dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Shamsul Iskandar dan Nurul Izzah Anwar.-SUARATV.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat