PPIM tuntut penjelasan pengiraan tarif baharu elektrik, rakyat berdepan kenaikan bayaran bil elektrik

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menuntut Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan tentang tarif baharu elektrik yang menyebabkan beberapa isu kenaikan bil elektrik mendadak sejak kebelakangan ini.

PPIM dalam satu kenyataan hari ini memandang serius masalah peningkatan mendadak bil elektrik orang awam yang melambung tinggi secara luar biasa.

“Beban kewangan ini berlaku dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menghimpit dan meresahkan rakyat,” katanya.

Untuk rekod, kenaikan Tarif Asas (RP4) bermula sejak 1 Julai tahun lepas di Semenanjung Malaysia dan ia mencatatkan peningkatan sebanyak 14.2 peratus (kepada 45.62 sen/kWh (kilowat per jam)) bagi tempoh kawal selia 2025 hingga 2027.

PPIM menjelaskan selain itu, Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) diselaraskan secara drastik seperti menyusut kepada 0.47 sen/kWh pada April 2026 berbanding kadar rebat yang lebih tinggi sebelum ini sekaligus penjimatan subsidi yang dinikmati rakyat.

“Keadaan ini ditambah dengan kekeliruan terhadap mekanisme bil, caj tersembunyi, serta lonjakan penggunaan akibat faktor cuaca dan perkakas tanpa ketelusan akaun yang memuaskan,” menurut kenyataan itu.

PPIM menegaskan bahawa pengguna bukan sekadar pembayar bil sebaliknya mempunyai hak untuk mendapat maklumat yang telus, akaun yang adil, serta pembelaan daripada pihak berkuasa.

“Lonjakan bil yang berlaku secara mendadak ini adalah sangat tidak adil kepada pengguna.

“Walaupun sebahagian rakyat diletakkan di bawah kategori M40 atau T20, pelbagai faktor realiti isi rumah perlu diambil kira dengan lebih empati,” katanya.

Kenyataan itu menyebut faktor cuaca yang semakin panas serta masalah jerebu memaksa isi rumah terutamanya mempunyai anak kecil dan warga emas, bergantung kepada penyaman udara bagi menjaga kesihatan dan kesejahteraan hidup.

PPIM mahu pihak TNB menjelaskan secara telus formula pengiraan tarif baharu, komponen caj yang dikenakan, serta pencerahan terhadap lonjakan bil yang membelenggu rakyat.

“Mengkaji semula pendekatan dan keadilan sosial terhadap pengguna M40 dan T20 yang turut terbeban dengan saiz isi rumah yang besar serta keperluan mendesak terhadap alat kawalan iklim dan kesihatan (seperti penyaman udara dan penapis udara) akibat perubahan cuaca.

“Mewujudkan mekanisme bantuan yang lebih prihatin bagi rakyat yang tidak mampu menjelaskan bil secara pukal sekaligus,” katanya.

PPIM menggesa kerajaan dan TNB menyediakan kaedah bayaran ansuran yang lebih fleksibel, mudah diakses dan moratorium atau penangguhan tindakan pemotongan elektrik terhadap pengguna yang sedang berdepan tekanan kewangan akut agar utiliti asas ini tidak dinafikan daripada hak rakyat.

“Janganlah pihak berwajib dan entiti korporat hanya memfokuskan kepada aspek keuntungan semata-mata, sedangkan rakyat marhaen dan golongan pembayar di bawah terpaksa merana menanggung himpitan kos yang diuar-uarkan sebagai pemulihan ekonomi,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat